Saturday, September 18, 2010

Usah persiakan rusuk kirimu



 Wahai pemilik asal rusuk kiri,

 Seharusnya kita menjadi pelindung. Seharusnya kitalah yang menggembirakan hati-hati yang halal bagi kita. Ketika nanti Allah s.w.t mempersoalkan mengenai amanah menjaga kaum wanita, apakah yang mungkin kita jawab nanti di mahkamah yang pupusnya hipokrasi sepenuhnya.

Kitalah pelindung kaum hawa,

 Langkah pertama adalah dengan mengikhlaskan niat seikhlas-ikhlasnya. Srmata-mata demi keredhaanNya. Batasi pergaulan dengan adab-adab Islam yang syumul walaupun kadangkala terasa berat di hati tetapi hakikatnya sungguh serasi dengan fitrah yang suci. Dalam masa yang sama, tahanlah tanganmu daripada menyentuh yang haram bagimu walau si dia amat kau sayangi. Renungkanlah, adakah kau sanggup menjadi asbab kepada terjerumusnya si dia ke lembah neraka yang tidak langsung mengenal ehsan? Tuluskan hatimu, lalu jawablah.

 Mengenai hati pula, urusannya sungguh halus. Sahutlah seruan jihad menumpaskan jajahan nafsu agar syahwatmu diikat dengan tali takwa serta digari dengan rantai keimanan. Apabila kau memandang wanita, maka pandanglah dengan rasa penuh tanggungjawab, penuh rasa ingin melindungi. Bukannya dengan igauan syahwat yang diharamkan.

 Pikullah amanah ini,

 Layanlah mahrammu serta yang halal bagimu dengan kemesraan berlandaskan Islam. Semoga mereka tidak merasa sunyi. Agar kaum hawa tidak mendambakan yang tidak halal bagi mereka. Isikan hati mereka dengan cintakan Allah dan ar-Rasul s.a.w. Semoga cinta yang tidak layak untuk mereka menjadi lelah dari mengerumuni mereka hasil daripada tembok malu yang terbina. Sesungguhnya, setiap yang lagha dan mungkar akan mudah sahaja membibitkan kefasiqan serta seterusnya menumbuhkan kecenderungan ke arah kemaksiatan

 Wahai yang 9 akalnya,

 Mereka adalah makhluk emosi, seringkali sensitif serta terasa pada perkara yang kita rasakan kecil tetapi tidak bagi mereka. Bersabarlah. Kagumilah sunnah nabi s.a.w . yang tidak pernah menyakiti tubuh isteri-isterinya. Malahan, nersifat penyayang, peka dan responsif dalam memahami tingkah laku mereka. Hanya dengan mengambil ikutan sunnah maka kemudiannya barulah mudah pentadbiran hidupmu bersama si dia.
Seringkali yang tersurat mengkaburkan yang tersirat. Kadangkala bahasa kaum hawa amat sukar difahami kerana kehalusan emosinya. Mohonlah kepada Allah agar dikurniakan ilham dan kefahaman.

 Kita adalah jantina yang dimuliakan Allah kerana tanggungjawab berat yang diamanahkan berbanding kaum hawa. Islam itu adil. Meletakkam sesuatu mengikut kesesuaiannya. Kitalah kaum yang yang diamanahkan kerja kenabian dan kitalah juga kaum yang ditakhtakan sebagai khalifah. Maka, selayaknyalah kita mampu mentadbir dunia dan manusia dengan aturan Allah yang Maha Mengetahui.

 Teguhkan iktikadmu!

 Andai hanya anda bersendirian dalam menggengam sunnah kebenaran. Maka teguhlah! Kerana janjiNya itu pasti. Sedang syurga kekal abadi dan bidadari-bidadari sedia menanti.

No comments:

Post a Comment