Monday, October 22, 2012

Huluran cahaya


Hidup ini adalah suatu perjalanan musafir yang jauh. Anggaplah alam kampus sebagai R&R yang memulihkan kembali ruhiyyah serta membekalkan fikrah yang teguh untuk berdepan cabaran mendatang. Apabila cuti menjelang, setiap mahasiswa akan berdepan realiti sebenar. Cabaran sebenar. Godaan sebenar. Di sini iman diuji. Di sini semua teori menuntut praktikal, ilmu memperlihat amalan.

Cuti, bukan tempoh untuk melempiaskan nafsu yang selama ini ditahan. Bukan waktu untuk membebaskan diri dari bi'ah solehah (suasanan islamik), bahkan ianya adalah potensi untuk menyebarluaskan dakwah buat ummah.
wake up la wei!

Terdampar di tengah-tengah zon cuti, saya tercampak ke dunia penuh selesa.

2 Minggu cuti berbaki, sudah terbit rindu pada tarbiyah, dakwah & ukhwah di Kampus. 100% correct apa yang Rasulullah sabdakan bahawa majlis ilmu adalah antara taman-taman syurga. Ya, saya rindukan haruman wacana ilmiah dan aroma usrah yang menebar di Darul Quran.

Saya kekosongan. kontang spiritual. Rindu pada aroma tarbawi.

Saya butuhkan inspirasi.

Dan ia, sejalur cahaya itu hadir dari insan biasa-biasa yang luarbiasa di mata saya lantaran secebis prihatin.

Pak Cik Bariman: Salah seorang Imam di Surau berdekatan (Surau Muttaqin). Aktivis HALUAN dan pernah beraktivisme di Palestin melalui misi kemanusiaan. "Teruskan belajar, kuatkan semangat, kita perlukan Hafiz"

Haji Ismail: Seorang jemaah Tabligh yang sentiasa akrab dengan mushaf al-Quran usai solat Zuhur dan Asar. Dia menginspirasikan saya melalui kekuatan ibadahnya yang menimbulkan insaf. "Biasalah..orang muda. Memang diuji. Ingat sentiasa, dunia ni sekejap je. Akhirat selama-lamanya. Orang muda macam awak ni, kalau taat..lagi Allah suka."

Ustaz Anam
Ustaz Shariful Anam: Beliau mendidik saya semasa di sekolah rendah. Seorang murabbi yang berkhidmat kepada masyarakat dengan kesungguhan. Menginspirasikan saya tentang tanggungjawab yang dimandatkan buat penuntut ilmu agama. "Anta kena ada rasa tanggungjawab kepada penduduk Taman Kota Jaya. Masyarakat kita dahagakan ilmu agama. Ana akan pergi satu masa nanti. Jadi, siapa yang akan gantikan ana?? Anta patut ambil alih tugas mengajar di sini. Kasihan masyarakat kita. Anta pun boleh lihat sendiri, masyarakat kita dahagakan ilmu agama. Kalau bukan pelajar bidang agama yang mengajar di surau & masjid..siapa lagi?"




Hati ini tersentuh...

Aku ingin kembali fitrah. Hidup di kelilingi suasana dunia, perlahan-lahan jahiliyyah meresapi hati. Ya Tuhan, aku ingin kembali ke landasan perjuangan...

Langkah kembali disusun, dari puing-puing kelalaian...

rindukan ukhwah




Jerebu


Dia terbatuk-batuk. Asap memenuhi ruang. Tekak terasa perit.

"Cis..macam mana nak makan macamni".

Mirip kebakaran, asap berkepul-kepul. Mujur tiada yang terkorban. Tiada yang mampus diserang sesak nafas. Cuma bersahut-sahutan 'penunggu makanan' terbatuk & terbersin.

"Kita yang kat luar ni pun asyik terbersin jer. Rasanya bulu hidung tukang masak dia macam unta punya kot. Tebal dan selamat dari digigit asap".

"Lain kali kalau makan kat kafe ni, aku nak pakai topeng muka, yang banat pula digalakkan berpurdah. Safety first. Elak barah bersin dan batuk berlendir", getusnya dalam hati sambil mengelak terjunan butir nasi dari seorang rakannya yang terbersin kuat.

Inilah sketsa biasa buat yang nak hilangkan lapar di Kafe DQ sambil menguji kesabaran.


"Cis!", ujarnya sekali lagi

Thursday, October 18, 2012

Monolog seorang sepi



Dia di bilik itu, duduk keseorangan. Seperti biasa. Senyap, sunyi. Sesekali terdengar sayup-sayup sahutan suara dari kem bina negara berhampiran, merawat kesunyian. Beginilah asrama di blok X, tidak bising dan agak hening. Tidak semeriah di asrama Y. Ramai kawan-kawannya berada di blok sebelah sana. Barangkali, kerana majoriti di sini mengambil Ijazah, ramai yang bersantai di luar kampus seusai waktu kuliah. Kalau di asrama Y, kebanyakannya masih di peringkat diploma, asramalah tempat mereka berpesta sakan dan menyanyi-nyanyi menghiburkan hati. Di kampus ini, siswa-siswi diploma diharamkan menjejak kaki ke luar kampus jika tiada keizinan dari pihak HEP. Semua aktiviti di dalam kampus saja. Cerewet.

"Ukhwah??"...hmmm". Seberkas keluh terhembus. Dia merenung kosong. Air mata bergenangan. Sunyi, itulah sahaja temannya.

Dia masih ingat, kemesraannya dengan kawan-kawan sefakulti ketika mereka tinggal di bilik dekat-dekat. Tak perlu berjalan jauh kalau nak ziarah. Ketika mula-mula mendaftar di kampus ini, ramai yang berasa payah untuk membiasakan diri dengan silibus yang lebih mencabar. Namun, beban dirasakan ringan dengan ikatan persaudaraan yang acapkali menjadi muara ketenangan. Kisah suka duka dikongsi bersama. Sama-sama ketawa, sama-sama bersorak, sama-sama menempuh sebuah dunia baru. Masih kuat di ingatan bagaimana mereka menghadapi program orientasi ketika minggu suai kenal. Dimarah, dijerkah, ditekan, semuanya didepani bersama. Apabila jatuh, bingkas bangkit bersama huluran tangan membantu.

Dia rindukan ukhwah itu.

"Ukhwah ni, pada suasana je ke? Bila geng kita menang, ukhwah kuat. Bila geng kita kalah, lemah, lantaklah engkau. Ni je ke nilaian ukhwah".

Kini, dia sedari perubahan itu. Ya, dunia ini berubah. Ikatan ini pasti diuji. Dia juga diuji. Kalau dulu, biliknya hampir dengan mereka. Sebelah-menyebelah. Seringkali dia diziarahi dan mudah baginya menziarahi kawan-kawan lain. Sapaan serta bertanya khabar ialah halwa telinga yang sering berdendangan, sekaligus mengeratkan rasa muhibbah. Keakraban terasa di pelusuk dada, menyenangkan hati menenangkan jiwa.

"Sem baru ni, aku pindah blok lain. Bukanlah jauh sangat pun. Berapa ramai yang sanggup ziarah. Datang, jumpa, jenguk aku. Aku sanggup, kerana ukhwah pergi ziarah diorang di blok asrama Y sana. Tapi diorang, berapa ramai yang sudi datang ke bilik aku kat blok X ni??". Luahan perasaannya tidak lagi tertahan. Gelora di dada kian membara. Kesedihan lantaran terasa dipinggirkan.

Dia sedar, ia sudah berubah. Iklim ukhwah nampak tidak lagi sama seperti dulu. Dia tertanya-tanya akan ketulusan ukhwah yang dipupuk selama ini. Jika benar ianya tulus, jarak dan tempat tidak mampu merobek harga ukhwah. Sinergi yang tercetus akan berterusan menyatukan manusia yang berkasih-sayang kerana Allah.

Dia termenung. Seorang diri. Di bilik itu, di asrama blok X. Pegun.

Mungkin, dia masih menunggu kunjungan kawan-kawannya yang dirindui. Sementara secebis 'percaya' masih berkerlipan, dia masih menunggu. Dan perlahan-lahan, 'percaya' itu semakin menjauh.

Friday, September 21, 2012

Video Himpunan Bantah Penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w (21 September 2012)



Di hadapan Tabung Haji, Ustaz Ridhuan Mohd Noor

Di depan kedutaan Amerika

Wakil mahasiswa, GAMIS.

"Ayuh, kita penuhkan saff Masjid sebagaimana kita penuhkan dataran ini. Ayuh, kita lazimi bacaan al-Quran. Ini sahajalah panduan yang kita ada." (Wakil GAMIS)

Maaf sekiranya kualiti video idak memuaskan. Untuk pengetahuan semua, diplomat Amerika tidak memberi sebarang respon dari memorandum yang dihantar oleh wakil himpunan. Majlis diakhiri dengan bacaan surah al-Ikhlas 7x serta tasbih kaffarah.


"Dengan Nyawa, dengan Darah! Kami tebusmu ya Rasulullah!



Kamu patut Tahu



Senyum ini, tidak ku damba berbalas. Pada langit tidak berbintang, terbentang selautan tafakkur. Samudera rindu, keajaiban buat sukma yang fitrah. Oh! Aku ingin bebas dari semua ini, biarku tenggelam dalam rangkulan Allah. Erat. Jangan biar selain-Nya leraikan Cinta ini. Cinta sejati, bersinar setulus nurani.

Di jalur cahaya ini. Prinsip adalah nyawa.

Biar kamu dengan jalanmu, dan aku dengan jalanku. Jika, memang di lauh mahfuz takdir kita berdampingan, pasti bersatu nanti di persimpangan perjuangan, ketika sudah matang saat tiba masanya. Aku lebih senang begini, sukmaku tidak terhimpit. Dadaku tidak meruap dek madah-madah yang mengkhayalkan hingga ke kayangan.

Di dunia ini, kita ialah pengembara.

Boleh jadi, kamu hanyalah selembar episod dari hidupku yang akan berlalu. Dan aku, mungkin cuma sebahagian mimpimu yang menghilang kala usia bukakan matamu, esok atau lusa.

Aku hanya ingin kamu bahagia. Melihatmu bergembira dihiburkan oleh firman Tuhan sudahpun melunaskan seluruh kalbuku dari rusuh. Aku percaya, di pancaran syariatullah terbias sejambak sunnatullah yang subur dengan sujud dan damai hakiki.

Kamu..ialah sekuntum mawar. Terhunus duri, demi harga diri.
Kamu..ialah selimut langit biru. Meskipun sembunyi, tetap berseri.

Asalkan segalanya demi redha-Nya, ia sudah cukup. Aku gembira.

Wednesday, September 19, 2012

Dugaan selepas Lebaran



Berlalunya Aidilfitri membawa bersama sorak-sorai raya..

Nak cuti mid-Sem kali ni, batch semester saya diuji dengan Peperiksaan. Inilah waktu yang mengejutkan huffaz yang tidur dan menghidupkan warga bilik yang 'mati'. Bagaikan Ramadhan kali ke-2, Masjid tampak meriah dengan saff solat serta mushaf al-Quran yang diimarahkan. Ramai juga yang iktikaf di Masjid. Usai penat mengulang hafazan, terus 'parking' badan dan terlelap hinggalah dikejutkan encik bilal dengan azan subuh.

Sapaan yang paling glamer masa ni pula ialah:

"Waa..mashi..mashi.." (Ni bukan sedara Mashimoro, watak kartun tu. Mashi di sini bermakna lancar giler hafalan)

Kadang-kadang apabila ditujukan Label ni kepada saya, dalam hati terdetik; "Aisy..apa la yang ko ngarut ni. Aku ni biasa-biasa je, ko tu lagi power".

Baik..actually, Peperiksaan bukanlah satu dugaan terbesar yang timbul kini. Yang mendebarkan dan mendatangkan risau bagi kami adalah apabila beberapa sahabat kami telah mengalami accident. Ia berlaku kerika mereka on-the-way ke Pahang untuk mengemaskini program Bakti Huffaz. Khabarnya, kereta yang dibawa telah berpusing sebanyak dua kali dan kemudiannya tiga kali terbalik. Ada yang cedera di kepala dan ada yang nak terputus jari. Nasib baiklah tak de yang terputus nyawa. Oh..

Takziah dan Doa 'Afiah buat mereka. SyafakaAllah..

Risau juga. Mudah-mudahan tak terganggu urusan peperiksaan yang mendatang.

Di sebalik musibah ini, mesej ibrah bersulam indah. Seorang sahabat saya yang terlibat berkata:

"Masa darah keluar banyak tu, aku jadi kuat semangat balik bila dengar lagu ni (sambil dia memasang lagu dari Mp3 hendset).
Erm..ni lah yang orang kata, sumber inspirasi, punca kekuatan..berakarkan tauhid serta semangat perjuangan Islam.


(Intro. Drum)
Ha hahaha hahaha hahaha
Haaa hahahaaa hahahaha hahahaha

Mengarungi samudra kehidupan,
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan,
Tiada masa tuk berpangku tangan

Setiap tetes peluh dan darah,
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah,
Kan menjadi saksi pengorbanan

Allohu ghoyatuna
Ar Rosulu qudwatuna
Al Qur?anu dusturuna
Al Jihadu sabiluna
Al Mautu fi sabilillah, asma amanina

Allah adalah tujuan kami,
Rasulullah teladan kami
Alqur?an pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan ﷲﺍ adalah,
Cita-cita kami tertinggi

Mengarungi samudra kehidupan,
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan,
Tiada masa tuk berpangku tangan

Setiap tetes peluh dan darah,
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah ,
Kan menjadi saksi pengorbanan

Allohu ghoyatuna
Ar Rosulu qudwatuna
Al Quranu dusturuna
Al Jihadu sabiluna
AlMautu fi sabilillah, asma amanina

Allah adalah tujuan kami,
Rasulullah teladan kami
Alqur?an pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah,
Cita-cita kami tertinggi
Cita-cita kami tertinggi

(Bingkai kehidupan- Shoutul Harakah)

Walaubagaimanapun, syukur alhamdulillah..Allah memelihara mereka. Orang yang berjuang ni (cewahh), sentiasa dilindungi rahmat-Nya. Jika ditimpa dugaan sekalipun, janji ilahi menjadi sumber inspiri yang mengalirkan kesegaran buat roh pejuang agar bangkit dengan gagah dan tabah. Tidak rugi berbakti di jalan Tuhan :-)



nota kaki: Erm..saya terkhayalkan, jika Kem Ryeo Na pula yang accident, adakah lagu Oppa Gangma Style pula yang kuatkan semangat dia --'

Kerajaan Cinta pimpinan Iman



Tersebutlah hikayat, di sebuah Kerajaan Insani. Hati sebagai raja, Akal sebagai penasihat kanan, Iman sebagai menteri dan seluruh anggota jasad adalah rakyat jelata.

Diriwayatkan pada suatu ketika, seluruh negeri gempar. Jasad selaku rakyat yang selama ini taat telah mula khianat. Hari ke hari, semakin ia menghampiri jurang kehancuran. Jika dibiarkan, nescaya mengheret kepada Murka Allah- Maharaja punya Raja.

Bagi mengelakkan krisis ini dari berpanjangan, Iman dijemput untuk menjernihkan negeri yang kian korup.

Akal mengadu kepada Iman.

"Oh, bukan aku jahil, bukan aku dangkal. Telah ku telaah 1001 madah-madah Cinta. Telah ku rakam bait-bait kesucian Cinta. Telah ku curah sedaya mampu untuk ku fahami falsafah-falsafah Cinta. Andai aku jumpa saja sebarang buku yang mempersembahkan Cinta, pasti ku dapatkan dan telan setiap nota Cinta agar kekal dalam ingatan. Ustaz Hasrizal, Fatimah Syarha, Pahrol Juoi, Hilal Asyraf...siapa lagi? Sebut saja. pasti ku kenal dan telah ku khatam kalimah agung mereka kala mengungkap rahsia Cinta.

Tapi..tapi..tapi..

Mengapa...

Dengan seluruh kefahaman yang ku miliki, seperti selalu...diriku enggan menceraikan manis maksiat. Otak yang dekat sekali dengan mata, masih tidak mampu mengalih organ ini dari memandang tarikan dosa..duh."

Kemudian. Datang pula sang halus lagi seni, sekeping Hati hadir merintih lirih.

"Iman, mengapa oh mengapa. Telah ku teriak untuk diwakafkan saja seluruh Cinta kepada Allah. Telah ku kata dengan lantang, untuk tidak lagi jatuh ditarik gelojak zina. Telah ku bersaksi untuk terus setia pada Yang Esa semata-mata. Telah ku potretkan perjuangan & ilmu sebagai Cinta sejatiku. Telah ku semboyankan ke serata jiwa agar berterusan menerpa Cinta ilahi. Biarlah hanya Dia. Biarlah Cinta yang Satu ini saja. Ku tak mahu yang lain. Ku tak mahu sengsara. Ku hanya mahu bahagia, malahan ku yakin bahagiaku hanya di dakapan redha-Nya.

Tapi..tapi..tapi..

Mengapa..

Masih ku relakan perasaan dililit khayalan. Dengan tekad sekuat ini sekalipun, masih terasa igauan dosa menusuk dan menyuntik asmara,  menghumbanku ke fantasi Cinta. Daerah persemadikan Cinta Ilahi ini masih belum mampu merdeka dari godaan dosa dan nista Cinta murahan. Sedangkan telah ku mengerti Cinta Tuhan ialah Cinta tertinggi, yang selainnya tidak bererti. Tapi..duh".

Akal dan Hati menangis sayu. Rasa sakit menangkis dugaan maksiat mencengkam sanubari. Perit.

Iman. Si pendengar yang setia, mengesat lembut air mata yang tumpah. Direnung dalam pada nubari Akal dan Hati.

"Sahabatku yang ku kasihi kerana Allah, ingin ku titipkan pesan".

Akal & Hati mendongak. Mahu sekali kesusahan ini berakhir.

"Perlu kita sedar. Sehebat dan sekuat mana pun. Titik utamanya tetap satu. Segalanya kurniaan Allah.

Masalah utama kita di Kerajaan Insani, ialah lantaran status TAQARRUB BILLAH.
"(Seseorang kamu tidak beriman (masih tidak sempurna Iman) sehingga Allah dan Rasul-NYA lebih disayanginya (dicintainya) daripada apa yang selain kedua-dua itu (Allah dan Rasul-NYA)...)"
[Musnad Ahmad No.13991, Sheikh Shu'aib al-Arnouth menilai: Isnadnya Sahih mengikut Syarat Al-Bukhari dan Muslim]

Seerat manakah kita dengan Allah. Akrabkah kita dengan Dia. Selalukah kita korbankan lena tidur, demi berqiamullail menghampirkan diri dengan Ilahi. Tidakkah kau sanggup lagi untuk bepuasa? Tahan nafsumu, didiklah ia sehingga mutmainnah. Ke mana menghilang semangat juang? Biar medah mujahadah jadi saksi, engkau berkorban demi Cinta-Nya.

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.
1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal,  tetapi  dia inginmendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima :
1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al- Khaliq(Pencipta-Nya).
4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."

Sebanyak manapun bait-bait cinta yang dihafal, setinggi manapun kefahaman Cinta yang dikhatamkan..tanpa taqarrub dengan Allah, ia tidak bermakna apa-apa. Ikrar yang tersemat di hati, wajib diiringi bukti. Layarkanlah sepenuh ikhtiar di lautan taqarrub menghampiri Tuhan. Kau kan tenang. Malahan, hanya dengan taqarrub billah..ketenangan hakiki bukan lagi retorik buta.

Tanpa taqarrub billah, madah pujangga Cinta yang kau rasai hanyalah sekadar rantaian kata yang tidak menyinarkan pekerti. Hatta setinggi melangit bait-bait itu memanifestasi nafas Cinta suci, diri masih lemah tatkala berhadapan dengannya. Tanpa taqarrub billah, sumpah setia di hati tidak lebih dari janji yang tidak berupaya mengikat bentak dusta Cinta. Selagi duniawi di hati, selagi tiada keakrabanmu dengan Ilahi. Selagi tidak terasa pesona taqarrub billah".

Duhai Akal, duhai Hati,

"Gapailah maghrifatullah, nescaya ia mencukupkan segala-galanya. Tambatkan seluruh kerajaan insani ini dalam mujahadah mencintai Allah. Gerakkan seluruh kudrat dan Ibadah hanya demi Dia. Berjuanglah menempuh apa pun jua dengan setulusnya ikhlas dan jujur. Kerana Cinta sejati, pasti di penghujungnya redha Ilahi. Bersama Taqarrub Billah, pasti dapat kau sentuh 7 petala langit yang menaungi.

Cinta Allah, adalah hadiah dari Taqarrub billah".  Iman tersenyum, bicaranya dinoktahkan

DARIPADA Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail, "Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah ia." Jibrail pun mencintainya, lalu Jibrail menyeru penduduk langit, "Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah ia." Maka penduduk langit mencintainya, kemudian ia mendapat penerimaan di dunia."
(Riwayat Al Bukhari No 3037)


Akal & Hati berhenti menangis. Terlihat suatu sinar memancar. Terang sekali. Suatu reformasi Cinta bermula di Kerajaan Insani!

Tuesday, August 21, 2012

Maknawi Aidilfitri




Sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah : "Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid".

Salam Aidilfitri buat yg mengenali diri ini. Maaf zahir & batin saya titipkan ikhlas dari hati. Moga ukhwah kita dipelihara olehNya :-)

Syawal, begitu signifikan sekali dengan laungan takbir raya yang mendayu-dayu, keriangan berhari raya serta ziarah memesrakan ukhwah. Syukur, kedatangan Hari Raya Aidilfitri turut sama menggendong trofi kemenangan membendung nafsu semasa Ramadhan. Puasa & Raya. 2 entiti yang pasti tenggelam hakikat maknawinya andai dipisahkan dari pengertian.

Raya. Comel senyuman dan manis muka memeriahkan hati. Tetapi, sayang sekali..jika ia ditayang-tayang tanpa nasihat syariat.

Duhai Muslimah, saya tau awak hepi raya-raya ni..Cuma saya berharap sebarang pose maut yang mendebarkan, tak payahlah uploud kat facebook/twitter. Buat pemakai baju raya yang ketat-ketat, kurangkanlah dosa kamu dengan tak menyebarkannya di medium sosial ye. Kasihanilah kami orang lelaki, terpandang aurat kalian kan berdosa..

Biarlah post-post keinsafan semasa Ramadhan yang berlalu tidak dicemarkan pula dengan tindakan ‘terkejut budaya’ masa Syawal menjelma. . Dangerous sesangat. Gembira ceria di temasya Aidilfitri pasti lebih membahagiakan dengan menyantuni bicara Allah dalam Kalamullah. Tanda kasih-sayangNya dibuktikan ketika di bertegas nakkan kita menjaga batas-batas Syariat, agar kita tak tercampak ke Neraka murkaNya. Agar kita bersama insan mulia di Syurga RedhaNya yang berkekalan.

Masa puasa, post: “Aku nak berubah”, “Hidayah Allah tetibe jer terasa”.

Mudah-mudahan semangat tatkala disapa hidayah Allah ketika Ramadhan tidak dilupakan. Kekalkanlah ia kerana Tuhan kita bukan hanya memerhati di kala Ramadhan saja, bahkan Dia sentiasa ada & Maha Mengetahui tau.

Buat warga Huffaz Darul Quran, pemergian Syawal dan tibanya pakej Cuti+Raya semestinya adalah satu UJIAN buat kita. Tuhan pasti melihat, bagaimana kita menterjemah Tarbiah Ramadhan di atmosfera Aidilfitri. Ingatan buat diri sendiri dan semua sahabat, cuti bukan peluang untuk terlepas dari amanat menjaga thiqah. Memanifestasikan sifat taat di suasana luar bi’ah solehah pasti lebih mencabar. Hanya kepadaNya kita berharap moga dipelihara iman, dikuatkan tawajjuh hati mencintai Al-Quran sepenuh hati.
Hurm..inilah Syawal, ia boleh jadi tali penamat perjuangan kita, ataupun medan bukti keikhlasan pencinta ilahi.

Raya di FELDA

Seperti kebiasaan, tahun ni saya meraikan hari pertama aidilfitri di FELDA Semenchu. Kehangatan isu kronisme FELDA disantuni dengan senyuman dan selawat sambil bermarhaban rumah ke rumah. Dakwah biarlah tadarruj (berperingkat), jika tidak..kita pasti tersepit antara kebenaran dengan skil mengungkapnya dengan benar.

Saya dan juga abang saya telahpun dapat menghafal skrip kata-kata aluan sebagai tetamu serta tuan rumah yang diulang tanpa diubah saban tahun. Mungkin, ia simbolik pada persaudaran yang setia dan tak berubah..hoho

Tak puas lagi beraya di kampong..huhu. Tak puas bergelut dengan anak buah..tak puas cubit pipi adik sedara (belum baligh) yang comel..Tak puas dengan sekuntum silaturrahim yang semerbak mewangi.


Sesiapapun pasti rindukan ukhwah yang ikhlas. Moga Aidilfitri jadi pencetus sebuah masyarakat muslim yang berkasih sayang. Selangkah lagi ke arah Khilafah!

Sajak; Pudar Biru





Johor Darul Biru
Bangkitlah dan ubah
Di tanah bertuah
Penerus kesultanan Islam Melaka
Kita tegakkan harapan ummah

Daku rakyat muda
Saksi kepalsuan dan retorik buta
Saksi sogokan dangkalkan minda
Saksi bencana tandaNya murka
Saksi agama sekadar budaya
Saksi hedonisme hancurkan belia
Saksi kronisme meratah FELDA
Saksi nasionalisme dayus berkuasa

Selagi esok ada
Berbekal fikrah murni
Bumi ini kan HIJAU nanti
melenyaplah raksasa MERAH

Monday, August 13, 2012

Umat akhir zaman di akhir Ramadhan



"Suasana di bulan Ramadhan ni macam pertandingan sukan di Olimpik. Ada 3 pusingan. Fasa pemilihan, suku akhir & final. Masa awal-awal, ramai yang terlibat, bersaing mendapatkan ganjaran. Lalu, fasa seterusnya akan berkurang orang yg terlibat, tak ramai macam masa mula-mula. Fasa terakhir pula, pusingan final. Paling penting. Yang bertahan hanya yang terpilih. Begitulah juga Ramadhan."

Saya petik kata-kata ini dari ucapan seorang pemimpin UMNO. Walaupun berlainan fikrah politiknya dengan saya, sebagai umat Islam seharusnya menganggap al-Hikmah sebagai universal, milik semua. Yang benar diambil, yang bohong dibuang.

Majlis Ttadarus Quran di Masjid KLCC

Saringan iman. Ramadhan menguji kesetiaan kita. Hari Raya Aidilfitri yang semakin dekat, datang dengan sisi pandangan yang bergantung pada paradigma kita.

Sama ada kita melihat ia sebagai pesta hedonisme, atau suatu simfoni kesyukuran.

Sama ada kita bergembira berlalunya Ramadhan kerana terlepas dari seksaan lapar di siang hari & lenguh lutut ketika tarawih, atau melepaskan saki baki bulan barakah ini bersama linangan air mata, sayu meninggalkan extra pahala & luas kasihNya.

Ramadhan tetap akan pergi. Setiap tahun adalah berbeza. Takkan sama walau nampak serupa. Ramadhan tahun ini takkan berulang tahun hadapan. Masa mustahil diundurkan.

Here comes..Lailatul Qadr.

 مَن قام ليلةَ القدرِ إيمانًا واحتسابًا، غُفِرَ له ما تقدَّمَ من ذنبِه، ومَن صام رمضانَ إيمانًا واحتسابًا غُفِرَ له ما تقدَّمَ من ذنبِه .
الراوي: أبو هريرة المحدث: البخاري المصدر: صحيح البخاري - الصفحة أو الرقم: 1901


““Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Satu malam yang menandingi 1000 malam. Satu qiamullail padanya mengalahkan rukuk sujud umat terdahulu.

Namun, dalam kita ghairah meneka malam mana yang kena..mindset kita patut hampir dengan intipati taqarrub menuju Tuhan. Ianya bukan berkenan malam ini atau malam itu adalah lailatul Qadr, tetapi yang sebenarnya ia berkenaan..adakah malam kita seumpama sunnah Rasulullah s.a.w. Agar yang disembah ialah Allah..bukan ganjaran mahupun bulan. Ganjaran & bulan setakat motivasi dariNya.

Allahumma yassir lana..

Allah..kita umat akhir zaman yang kepantasan masanya di zaman ini telah dikhabarkan baginda Nabi s.a.w. Kita disibukkan perkara duniawi, dikepung hal-hal lagha. Sehinggakan keberkatan masa terluang untuk beribadah dicabut..moga masih ada maghfirahNya untuk kita..

Monday, August 6, 2012

Ramadhan berairmata darah


Perjalanan takdir menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan 2012. Tahun ini, pakej puasa 30 hari tiba dengan lebih sebab untuk kita bermujahadah. Adakah kita masih bermalas-malasan dalam mengejar sunnah solat berjemaah? Atau masih terasa berat menyampaikan kalimah al-Haq? Tanpa perang Badar di Ramadhan yang silam, inilah jihad kita. Jihad menguasai diri, menghalau sarakah nafsu. Wajar sekali wujud rasa malu jika masih tidak menampakkan walau sedikit perubahan. Kita patut berasa kerdil jika nak dibandingkan cabaran yang kita hadapi dengan dugaan hidup yang ditempuh oleh saudara seakidah kita di belahan dunia yang kian berdarah.

Etnik Rohingya, Tanah Palestin, Negara Syria, Konflik Patani dan bermacam-macam lagi mehnah yang menimpa tanpa pembelaan. Umat Islam diratah dengan gelojoh. Darah ditumpahkan tanpa kemanusiaan. Di mana Hak Asasi Manusia laungan polis dunia (kononnya). Amerika penuh angkuh menyaksikan dengan kepuasan. Dendam perang salib telah berjaya dilunaskan. Persidangan dan diplomasi tidak menampakkan hasil progresif seolah-olah keadilan hanya buat puak-puak eksklusif.

Kesilapan besar saat akhir pemerintahan Turki Uthmaniah dengan menerima Riba’ (pinjaman dengan faedah) atas asakan gerakan tanzim telah membuka peluang musuh islam mencantas ekonomi khilafah ini. Lantas, menjustifikasikan kejatuhan sebuah pelindung umat Muhammad s.a.w di tangan pengkhianat juga ejen freemason; Mustafa Kamal ataturk. Kini, kita dicerai-beraikan dan dipijak tanpa perisai yang mempertahankan kehormatan ummah. Air mata mengalir tanpa ada yang menyeka. Darah yang mengalir di Ramadhan ini membingkiskan kesedaran sebenar buat insan yang masih bertasyahud tauhid. Kesedaran yang membangkitkan perubahan. Perubahan internal agar dapat menggemparkan dunia. Bukan sekadar literal, tetapi terlahir melalui praktikal.

Bagaimana pula kita?
Hukama’ berpesan: “Orang yang tak dapat menguruskan perkara kecil, pasti tidak mampu menguruskan perkara yang besar-besar”.

Kebangkitan Islam suatu isu yang besar. Sangat bersifat reformis. Ia berkenaan perubahan yang mencabar sistem dunia sedangkan sistem dunia pula dikuasai oleh musuh islam.

Sahabat-sahabatku,
Mari kita mulakan dari dalam. Bermula dengan jihad meluruskan niat. Kemudian menghalakan gaya hidup melayari kehidupan bersyariat. Kita muhasabah kembali diri sendiri. Sejauh manakah komitmen kita dalam menyempurnakan Fardhu Muslim? Seluas manakah syiar dakwah telah kita perluaskan buat pedoman saudara-saudara kita yang masih jauh dari Allah? Setiap Muslim memiliki skop yang tersendiri dalam melicinkan arus kebangkitan. Kebangkitan Islam suatu yang dijanjikan. Mudah-mudahan kita tidak terputus dari ikatan rantai perjuangan.

Mereka di sana berjuang dengan lumuran darah. Bila semboyan memanggil, moga jiwa kita telah bersedia. Doa dan Qunut Nazilah buat semua yang tersiksa demi sebuah ikatan! Ikatan akidah Islam yang tiada sempadan!

Di dalam surah Al Hajj ayat 77 - 78 Allah Taala telah berfirman :
Maksudnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solah) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah ‘amal-’amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu kejalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (Untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama (ikutilah) agama bapa kamu Ibrahim dan Dia menamakan kamu orang-orang lsla semenjak dahulu dan dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang- orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia tentang yang benar dan yang salah. Oleh itu dirikanlah solah dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah.  Dialah pelindungmu, maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.”


Saturday, July 28, 2012

Aktivis Kampus, Amanah kita.


Tahun ke-2 di kampus memanusiawikan saya. Pengalaman dikoleksikan, menjadi guru yang tegas bermisai lentik.

Jawatan.

Entiti yang agak saya rasakan berat untuk menyarungkannya. Memikul amanah yang bakal dipersoal. Membebankan diri dengan gerak kerja yang  akan mengambil alih ruang-ruang masa. Ia juga bererti, berkuranglah kesempatan berpesta sakan di asrama..hehe..

Namun..

Bicara ikhlas seorang pimpinan kampus, menyeruak mentaliti saya.

“Jangan rasa seronok pegang jawatan, tapi biarlah seronok rasa dapat MENYUMBANG.”

Duh, ia menghentam bagai meteor. Meninggalkan bekas kesedaran.

Sepotong bicara hikmah menambahkan lagi persolan untuk dimuhasabah;

“Kita telah menzalimi kawan sendiri. Kita membiarkan dia dibebankan dengan pelbagai jawatan. Kita tak membantu dia, kita tak menawarkan diri untuk membantu. Di mana letak nilai persahabatan??”

 Hmm..saya sekadar manusia kerdil yang sedang mencari erti sebuah kehidupan.

Perkara baru lagi untuk dipelajari. Perlu segera untuk dihadam. Tanpa pengalaman aktif di sekolah dulu..saya perlu bermula dengan bertatih. Belajar membiasakan diri dengan rutin berjawatan. Belajar menguruskan masa. Belajar memanfaatkan diri. Belajar makna menyumbang.

Ya. Seorang mahasiswa, perlu sedia bergelar aktivis. Jutaan skil bakal ditekuni, bermacam cabaran bakal diterokai. Jika dari sekarang tidak dilatih mencurahkan bakti, bagaimana pula apabila bukan lagi berada di kelompak ilmuwan & pejuang. Semestinya perasaan nak memanjakan diri lebih membuncit.

Hmm..mindset perlu dirombak. Bahkan, memang sepatutnya ia diupgrade selalu sebagai mahar sebuah kematangan.

Sdg belajar contohi my Naqib yang dah grade ni, Abang Che Faizul.

Anak Muda bersama PAS


Zaman sudah berubah. Minda masyarakat kita tidak mudah dikotakkan dengan satu hala cerita semata-mata. Sumber maklumat tidak mudah ditutup dengan coretan comot kisah-kisah tengik.

Generasi-Y, pelapis perjuangan mendatang.
Kami generasi Facebook, Blogger, Whatsapps, Twitter…
Kami Peminat makalah Jundi Resources, PTS, Telaga Biru, Harakah…
Kami peminat Ustaz Azhar Idrus, pendakwah mesra belia..
Jika khabar disekat dek birokrasi dan konspirasi, kebenaran sentiasa selamat meloloskan diri di gerbang teknologi. Maklumat tanpa sempadan.

Sebagai anak berketurunan FELDA yang sudah menyedari isu sebenar, saya sudah muak dengan kerenah BN.

Semasa Si kaler biru havoc sekali dengan konsert K-Pop berpengisiankan hiburan separuh telanjang, Jemaah Hijau berpesta dengan Kuliah Ilmuwan Islam & Lontaran taujihat. Sudah-sudahlahlah, usah disogok sahabat seusia saya dengan rangsangan nafsu & material. Ini bukan zaman materealisme. Bahkan, zaman empire Islam semakin menghampiri dan mengubah dunia. Saat kejatuhan Liberalis terlihat jelas. Mentaliti nasionalisme sempit tidak lagi mudah mendapat tempat.

Generasi pengkaji mereformasikan negaraku, Malaysia. Tanah tumpah darah yang saya sayangi ini, kian menyantuni gelombang perubahan. Sebuah pembaharuan untuk esok yang lebih cerah. Mencarik gebar kegelapan bagi menerangi pelusuk mandala. Biarlah inci-inci bumi ini ditadbir insan yang berfikrah Islami. Agar arah tuju lebih jelas. Haluan masa depan Khilafah akan lebih praktikal dengan proxy perjuangan yang matlamatnya terang tanpa keraguan. Sebuah pemerintahan Islam yang berkebajikan. Inilah impian saya. Inilah impian anak muda yang impikan Malaysia yang lebih harmonis. Bergemakan visi mendaulatkan Islam, tanpa korupsi melata menghisap darah rakyat. Malaysia yang lebih baik!

Duhai sahabat seusiaku, marilah mengkaji & mengaji! Kemudian, bertasbih takbirlah bersama Islam!

Ramadhan bertandang, hadiahkanlah perhatianmu.



Memang benar-benar saya rasakan putaran waktu begitu pantas. Sekarang, saya merayakan sekali lagi Pesta Tingkatkan Takwa di bumi barakah, Darul Quran. Alhamdulillah..seinfiniti syukur pada Yang Maha Penyayang, bekalan nyawa masih tersisa supaya dapat dipakai memberi peluang diperbanyakkan beribadat.

Malam tadi, diadakan Iftar bersama usrah Atfal al-Hijarah, meleraikan sedikit rindu berukhwah. Sunnah silaturrahim yang agak rapuh digigit raksasa kesibukan. Rasa begitu kecil dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w yang ditaklifkan pelbagai tanggungjawab, tetapi tetap erat ikatan persaudaraan sesame sahabat Baginda.

Seusai iftar dan Solat berjemaah, saya bawakan soal azam.

Ya! Azam di Bulan Ramadhan!
Bukankah Nabi Muhammad s.a.w sendiri meningkatkan kuaiti dirinya di bulan mulia ini. Ianya kan sunnah yang lebih utama berbanding mensasarkan azam di tahun baru.

Ibnu ‘Abbas ra berkata “Nabi SAW adalah manusia terbaik, dan Baginda menjadi lebih baik apabila datangnya Ramadan ketika Jibril bertemu Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan untuk bertadarus al-Quran. Baginda akan membacanya dengan amat baik seperti angin yang bertiup lembut.” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim

Berbekalkan sedikit kekuatan yang dipinjamkan Allah, saya cuba belajar berperanan sebagai Naqib. Saya hanya insan biasa..Walau diri ini masih banyak kelemahan, amanah dakwah ialah amanah semua.
“Bulan ni apa azam kamu? Pada ana, insyaAllah ana akan cuba memperbaiki Solat Subuh berjemaah dan memperbaiki hubungan silaturrahim..kamu pula?”

Saya ajukan respon pertama kepada anak usrah di sebelah kanan saya, Salahuddin.

“Erm, nak perbaiki diri”

“Nak lebih baik mengulang Quran”

“Nak mantapkan Quran”

antara adik-beradik atfal al-Hijarah
Bermacam-macam jawapan diberi. Iman, Bob, Luqman dan Salahuddin, masing-masing miliki potensi. Mereka adik-beradik usrah yang punyai masa depan jika dimanfaatkan setiap peluang di kampus ini. Liqa’ selepas iftar itu hanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. Masing-masing perlu bersegera ke Masjid agar tak terlepas Solat Isyak berjemaah dan kemudiannya dilengkapi dengan Solat Terawih. Moga sedikit pengisian yang dikongsikan bermanfaat. Saya hanyalah manusia biasa, sentiasa perlukan hidayah Allah agar tidak terjatuh dari jalan dakwah. Mudah-mudahan.

Sedikit peringatan meniti hari-hari yang dibukakan peluang rahmat Allah, semoga janganlah kita menjadi golongan yang tercicir dari dipandang dengan kasih-sayang-Nya.

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.
 [HR Al-Hakim dan Sanadnya Sahih]

Muhasabah kita


Menyayangi tak semestinya bererti memiliki. Cukuplah, melihat si dia bahagia & dinaungi redha Allah. Antara sayang manusia dengan sayang Tuhan, hadiahkanlah kepadanya yang lebih bernilai. Berikan makna pada cinta.

Kalau melepaskan hasrat lebih menghampiri syariatullah, pengorbanan itu bererti melepaskan si dia untuk terbang menuju langit redha-Nya. Membiarkannya bebas dari dosa lebih indah dari bahagia di lembah dusta. Iman yang menyulami hati pasti lebih bahagia andai insan yang dikasihi terbebas dari murka Allah. Bukankah Dia yang mencambahkan perasaan itu? Biarlah kepada-Nya sahaja kita kembalikan setiap pengharapan.

Duhai hati, sedarilah hakikat kejadianmu. Kita hanyalah makhluk yang diciptakan menjadi Hamba-Nya. Sabar yang dikau genggam, menyinarkan roh taqqarrub pada Allah..lambang dirimu bertuhan.
Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyyah memberikan gambaran bahawa:
  • Sabar bukan bererti menyerah tanpa usaha  namun, sabar juga bukan bererti perjuangan tanpa hasil. 
  • Sabar adalah taman kesejukan di antara usaha yang maksima dan tawakkal yang sepenuhnya. 
  • Sabar adalah timbulnya keyakinan yang kuat kepada janji Allah. Allah tidak mungkir janji.
  • Dengan sabar, hati begitu optimis, bahawa Allah akan segera menyambut niat dan keinginan tulus seorang hamba. 

Jika menjaga & meyakini hasrat tidak memusuhi syariat ilahi, peliharalah ia di taman tawakkal. Serahkan segalanya kepada Yang Menciptakan. Sucikan setiap harapan di lembayung doa. Gantungkan impian bersama lantunan Istikharah, hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Bukan bererti dirimu hina saat bersandar pada-Nya, tapi ia lambing kekuatan..menyerahkan relung hati untuk disimpan kemas oleh ilahi.

Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta karena Allah dan benci karena Allah. (HR. Ath-Thabrani)

Seorang Mukmin/Mukminah dilukiskan dalam Kalamullah sebagai insan pemberani. Berani berharap pada yang ghaib. Yakin tulus bahawa yang terbaik ditentukan Allah, tertulis teguh di Lauh Mahfuz. Dia maha tahu apa yang terbaik, lebih memaknai setiap yang berbunga di hati. Sabar, hingga tiba waktunya. Biarkanlah segalanya demi Allah, kerana sekuat mana kita ‘menjaga’, di situlah terletak perhatian Allah pada ikhlas sekeping hati.

“Enggan hati memberi harapan, bimbang angan-angan melangkaui ketentuan Tuhan. Kerana kudrat manusia, tidak hingga mencorak taqdir. Kita hanya berjalan di sebuah kehidupan milik Tuhan.”

Friday, July 27, 2012

Istimewanya, Dirimu unik


Setiap orang ada lapangannya yang tersendiri. Jika semua orang kat dunia ni sama saja, pasti life ni xde kaler,,boringnyer. Jadi, Allah kan maha Genius. Diciptakan variasi kelebihan buat orang yang berbeza-beza buat saling melengkapi. Menampung yang kurang, menongkat yang pincang.

Ada orang yang pandai berkarya
Ada yang power berkata-kata
Ada yang macam atlas thaqafahnyer
Ada yang tough muscle macam Hulk

Tapi..

Kalau semua orang berkarya je, siapa yang yang nak baca karya yang terhasil?
Kalau semua orang power berkata-kata, mesti telinga kita sakit sebab dunia jadi bising.
Kalau semua orang macam atlas thaqahnya, apa perlunya perpustakaan? Peluang nak dapat pahala sebarkan ilmu pun menghilang..semua orang dah pandai..
Kalau semua orang tough muscle macam Hulk, aiseymen..gadoh je la kita ni, nak tunjuk taiko..

Kita diciptakan oleh Tuhan. Dia Maha Mengatur, kita adalah sebahagian ciptaan-Nya yang melengkapi alam ini.

Kamu rasa diri lemah, tak berguna?

Isy..isy..jangan cakap macamtu, kita masing-masing ada keistimewaan tersendiri tau J

Tak pandai Matematik? Mungkin kamu pandai sastera.
Tak power bercakap? Mungkin kamu tajam akalnya.
Tak berani berdepan ramai orang? Mungkin kamu berbakat ICT.
Tak kuat hafalan? Mungkin kamu terer memasak.

Yup! Jom hargai diri sendiri, kita appreciate apa yang Allah bagi kat kita. Syukur atas segala nikmat. kecil & besar. Mungkin, ada nikmat pada diri sendiri yang kita anggap kecik jer, macam tak de nilai. Tapi sebenarnya, pada pandangan mereka yang kekurangan, dalam hati mereka berkata..”Alangkah bestnya kalau aku ada apa yang dia ada”

Hargai diri sendiri..kerana kita hamba yang diciptakan-Nya. Akan kembali, biarlah dicintai ilahi.

Usah jeles sangat pada apa yang ada pada orang lain. Entah-entah, mereka pun sebenarnya cemburu pada apa yang kita miliki. Yes, other side always look greener. Kitalah manusia yang perlukan qanaah & syukur untuk rasa cukup. Bukan peluang 1000 tahun lagi untuk rasa lebih sempurna.

Lets be our own self!

but..
How?

Well..Start with..Alhamdulillah..

Syukurlah walau dengan yang sedikit, kerana hakikatnya kita memang tiada apa-apa, kita bukan siapa-siapa. Pandai, bodoh, glamer, isolated, mulia, hina..semuanya hanyalah `wayang’ di dunia fana ini. Semua orang memainkan wataknya. Semua orang sama asalnya. Hanya dipilih untuk beraksi sebaik mungkin. Anugerah pula diberikan buat mereka yang ikhlas. Mereka yang tetap teguh pada Islam dalam apa-apa jua keadaan. Insan rabbani berfirasat sufi.

Apa lah yang ada pada raut keangkuhan. Berjalan di mandala sebagai makhluk, tidak layak menandingi Sang Khaliq. Kalau sombong, tak siapa suka kan..Allah benci ada lah.

Hidup ini adalah anugerah, hadiah oleh-Nya agar kita mengenal erti buat diri. Agar kita menyempurnakan misi tertentu yang disusun oleh Allah di aturan taqdir. Ketentuan setiap kita berbeza. Hadapilah ia sebagaimana yang kamu mahukan, asal tidak menyimpang dari laluan menuja redha Tuhan. Hiduplah dengan kehendakmu hatta 1 trilion tahun sekalipun, tanpa redha Allah..segalanya tidak bernilai sesaat sekalipun. Padang Mahsyar tiada kenal harga susah kerana perkara yang sia-sia. Hanya kala langkah berjalan di keredhaan Tuhan, barulah ia dijunjung penuh penghormatan.

Mari kembali di hening malam, bergalaskan jiwa hamba, hargai segala pemberian-Nya. Nyawa telah diberi percuma, dihiasi lagi dengan Iman & Islam, apa lagi yang lebih mahal dari anugerah ini?


Reminder untuk yang rela



Sepotong kata menyentuh hati saya;

bila kamu mula mendekatkan diri dengan Tuhan
dalam erti kata yang sebenarnya
"Your source of pleasure will be your source of pain."

Apabila tiba hidayah dihadiahkan oleh-Nya, kuat manakah diri ini untuk berkorban?

Pada siapa harus disandarkan setiap perit hirisan perubahan?

Tabahkah kamu duhai hati, `menyiat’ wajah lama demi menggantikan wajah yang baru?

Nak berubah? Cakap senanglah…

Bila nak mendekatkan diri pada Allah dengan sebenar-benarnya. Kita perlu banyak berkorban. Belajar korbankan apa yang kita sayang, demi Yang Maha Penyayang (ar-Rahman). Belajar mengawal kehendak, demi Dia yang mampu memakbulkan segala kehendak (al-Mujib). Hadiah sebuah pengobanan ialah syurga. Ianya pasti, namun sukar diyakini saat diri diuji.

“Jika mahu tahu di mana kedudukan kita di sisi Allah, lihatlah di mana Allah di hati kita.”
Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Sanggupkah kalbu ini dikorbankan perasaannya, demi memenuhi tuntutan Tuhan?

Nafsu. Daya rusuh yang menghinggari hati. Mengawal atau dikawal. Seringkali dikelirukan, adakah perlakuan kita bertitik-tolakkan redha-Nya, atau hanya percaturan nafsu. Tak semua yang kita anggap baik itu benar-benar Hasanah, juga kadangkala suu’uz zonn (sangka buruk) menggelapkan sisi putih sesuatu perkara hingga dianggap mungkar.

Ya Allah, hanya pada-Mu Hamba-hamba ini melabuhkan harapnya..

Hari ini..jari masih dapat menitipkan kalimah tarbiyah. Esok lusa..saya sandarkan padanya. Moga penulisan hari ini, dapat menjadi reminder kala diri ini tersilap, andai khilaf memahami makna insani..



Secangkir kisah pemanis ibrah:

Seekor burung lain berkata pada Hudhud, "O kau dengan tujuan-tujuan yang tak menipu, katakan
padaku bagaimana aku dapat tulus di Jalan menuju Tuhan ini. Karena aku tak dapat
meninggalkan keinginan hatiku ini, kukorbankan segala yang kupunyai untuk mencapai
tujuanku. Apa yang kupunya telah hilang; apa yang kutangkap telah berubah jadi kalajengking di
tanganku. Aku tak terikat oleh ikatan apa pun juga dan aku telah membuang segala belenggu dan
halangan. Aku ingin untuk menjadi tulus di Jalan ruhani dengan harapan suatu hari dapat
bertemu muka dengan yang kupuja."

Hudhud menjawab, "Jalan itu tak terbuka bagi setiap orang; hanya yang tulus dapat
menempuhnya. Ia yang menempul Jalan ini harus berbuat begitu tenang dan sepenuh hati. Bila
kau telah membakar segala yang kaumiliki, kumpulkan abunya dan tempatkan dirimu di atas abu
itu. Sebelum kau melepaskan diri dari segala sesuatu di dunia ini, satu demi satu, kau tak akan
bebas. Dan mengingat kau tak akan lama dalam penjara dunia ini, maka lepaskan dirimu dari
segalanya itu. Bila maut datang, dapatkah apa yang kini memperbudak dirimu mengelakkannya?
Menempuh Jalan ini, diperlukan ketulusan diri dan tulus terhadap diri sendiri lebih sulit dari
yang kau kira."


Kesabaran merupakan dhiya’ (cahaya yang amat terang). Dengan kesabaran inilah, seseorang akan mampu menyingkap kegelapan. Rasulullah SAW mengungkapkan, "…dan kesabaran merupakan cahaya yang terang…" (HR. Muslim)