Memang benar-benar saya rasakan putaran waktu begitu pantas.
Sekarang, saya merayakan sekali lagi Pesta Tingkatkan Takwa di bumi barakah,
Darul Quran. Alhamdulillah..seinfiniti syukur pada Yang Maha Penyayang, bekalan
nyawa masih tersisa supaya dapat dipakai memberi peluang diperbanyakkan
beribadat.
Malam tadi, diadakan Iftar bersama usrah Atfal al-Hijarah, meleraikan sedikit
rindu berukhwah. Sunnah silaturrahim yang agak rapuh digigit raksasa kesibukan.
Rasa begitu kecil dibandingkan dengan Rasulullah s.a.w yang ditaklifkan
pelbagai tanggungjawab, tetapi tetap erat ikatan persaudaraan sesame sahabat
Baginda.
Seusai iftar dan Solat berjemaah, saya bawakan soal azam.
Ya! Azam di Bulan Ramadhan!
Bukankah Nabi Muhammad s.a.w sendiri meningkatkan kuaiti
dirinya di bulan mulia ini. Ianya kan sunnah yang lebih utama berbanding
mensasarkan azam di tahun baru.
Ibnu ‘Abbas ra berkata “Nabi
SAW adalah manusia terbaik, dan Baginda menjadi lebih baik apabila datangnya
Ramadan ketika Jibril bertemu Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan
untuk bertadarus al-Quran. Baginda akan membacanya dengan amat baik seperti
angin yang bertiup lembut.” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim
Berbekalkan sedikit kekuatan yang dipinjamkan Allah, saya
cuba belajar berperanan sebagai Naqib. Saya hanya insan biasa..Walau diri ini
masih banyak kelemahan, amanah dakwah ialah amanah semua.
“Bulan ni apa azam kamu? Pada ana, insyaAllah ana akan cuba
memperbaiki Solat Subuh berjemaah dan memperbaiki hubungan silaturrahim..kamu
pula?”
Saya ajukan respon pertama kepada anak usrah di sebelah
kanan saya, Salahuddin.
“Erm, nak perbaiki diri”
“Nak lebih baik mengulang Quran”
“Nak mantapkan Quran”
![]() |
antara adik-beradik atfal al-Hijarah |
Bermacam-macam jawapan diberi. Iman, Bob, Luqman dan
Salahuddin, masing-masing miliki potensi. Mereka adik-beradik usrah yang punyai
masa depan jika dimanfaatkan setiap peluang di kampus ini. Liqa’ selepas iftar
itu hanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. Masing-masing perlu bersegera
ke Masjid agar tak terlepas Solat Isyak berjemaah dan kemudiannya dilengkapi
dengan Solat Terawih. Moga sedikit pengisian yang dikongsikan bermanfaat. Saya
hanyalah manusia biasa, sentiasa perlukan hidayah Allah agar tidak terjatuh
dari jalan dakwah. Mudah-mudahan.
Sedikit peringatan meniti hari-hari yang dibukakan peluang
rahmat Allah, semoga janganlah kita menjadi golongan yang tercicir dari
dipandang dengan kasih-sayang-Nya.
Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (sallallahu
alaihi wasalam) bersabda: Berhimpunlah
kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki
anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua,
beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau
berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya
Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami
belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:
“Sesungguhnya
Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang
mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun
mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata
lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak
menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika
aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang
mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun
mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.
[HR Al-Hakim dan Sanadnya Sahih]
No comments:
Post a Comment