Friday, July 27, 2012

Life’s a Gift, Anugerah Kehidupan.




Hidup ini satu hadiah, anugerah paling bernilai. Ianya hanya hadir sekali sahaja. Diamanahkan buat kita menjaganya, memelihara nyawa ini agar apabila ia dikembalikan, kekal setia pada janji mengabdikan diri.

Maksudnya: Daripada Abdullah Ibn Umar Radiyallah 'Anhuma, katanya: Rasulullah S.A.W.memegang bahuku seraya bersabda: Jadilah di atas dunia ini sebagai seorang perantau. Ibn Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah tunggu menjelangnya waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi,jangan tunggu menjelangnya waktu petang. Gunakan peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan matimu. (Hadis Riwayat Bukhari)

Setiap kesempatan yang datang, ialah rezeqi yang tersembunyi. Kita punyai potensi yang berupaya bertindak selaku kunci yang akan membukanya lalu menyerlahkan potensi & bakat kita tersendiri. Setiap keadaan adalah rahmat, jika kita bijak memanipulasinya. Dalam jiwa saya dan kamu,wujud energi syukur dan sabar. Nah..inilah petanda Tuhan telahpun menyediakan insan dengan software dan antivirus paling diyakini untuk menerjah mehnah kehidupan yang acapkali dirundung tribulasi.

Sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”(H.R.Muslim)

Hari ini dan esok. Kita hanya melakar ikhtiar, sedangkan Tuhan yang mengukir taqdir. Di perjalanan ini, seorang musafir harus berhikmah. Tak semua impian logik dipenuhi, tak semua harapan mampu dipuaskan. Tapi, kita manusia patut hidup dengan hasrat besar. Mimpi yang muluk-muluk cukup membahagiakan jika hatta secebis darinya menjadi realiti. Manusia muslim, dilapangkan hatinya dengan redha, tawakkal & qanaah. Seluas lautan, harapan seringkali ada buat yang berusaha. Tiada manusia mulia yang tanpa masa silam, dan tiada manusia hina yang tanpa masa depan. Kita hanya melakar ikhtiar, sedangkan Dia, paling berhak menentukan.

Umur sentiasa menemani masa mencari-cari erti sebuah kehidupan..dan mereka berlari, laju sekali!


No comments:

Post a Comment