Monday, August 6, 2012

Ramadhan berairmata darah


Perjalanan takdir menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan 2012. Tahun ini, pakej puasa 30 hari tiba dengan lebih sebab untuk kita bermujahadah. Adakah kita masih bermalas-malasan dalam mengejar sunnah solat berjemaah? Atau masih terasa berat menyampaikan kalimah al-Haq? Tanpa perang Badar di Ramadhan yang silam, inilah jihad kita. Jihad menguasai diri, menghalau sarakah nafsu. Wajar sekali wujud rasa malu jika masih tidak menampakkan walau sedikit perubahan. Kita patut berasa kerdil jika nak dibandingkan cabaran yang kita hadapi dengan dugaan hidup yang ditempuh oleh saudara seakidah kita di belahan dunia yang kian berdarah.

Etnik Rohingya, Tanah Palestin, Negara Syria, Konflik Patani dan bermacam-macam lagi mehnah yang menimpa tanpa pembelaan. Umat Islam diratah dengan gelojoh. Darah ditumpahkan tanpa kemanusiaan. Di mana Hak Asasi Manusia laungan polis dunia (kononnya). Amerika penuh angkuh menyaksikan dengan kepuasan. Dendam perang salib telah berjaya dilunaskan. Persidangan dan diplomasi tidak menampakkan hasil progresif seolah-olah keadilan hanya buat puak-puak eksklusif.

Kesilapan besar saat akhir pemerintahan Turki Uthmaniah dengan menerima Riba’ (pinjaman dengan faedah) atas asakan gerakan tanzim telah membuka peluang musuh islam mencantas ekonomi khilafah ini. Lantas, menjustifikasikan kejatuhan sebuah pelindung umat Muhammad s.a.w di tangan pengkhianat juga ejen freemason; Mustafa Kamal ataturk. Kini, kita dicerai-beraikan dan dipijak tanpa perisai yang mempertahankan kehormatan ummah. Air mata mengalir tanpa ada yang menyeka. Darah yang mengalir di Ramadhan ini membingkiskan kesedaran sebenar buat insan yang masih bertasyahud tauhid. Kesedaran yang membangkitkan perubahan. Perubahan internal agar dapat menggemparkan dunia. Bukan sekadar literal, tetapi terlahir melalui praktikal.

Bagaimana pula kita?
Hukama’ berpesan: “Orang yang tak dapat menguruskan perkara kecil, pasti tidak mampu menguruskan perkara yang besar-besar”.

Kebangkitan Islam suatu isu yang besar. Sangat bersifat reformis. Ia berkenaan perubahan yang mencabar sistem dunia sedangkan sistem dunia pula dikuasai oleh musuh islam.

Sahabat-sahabatku,
Mari kita mulakan dari dalam. Bermula dengan jihad meluruskan niat. Kemudian menghalakan gaya hidup melayari kehidupan bersyariat. Kita muhasabah kembali diri sendiri. Sejauh manakah komitmen kita dalam menyempurnakan Fardhu Muslim? Seluas manakah syiar dakwah telah kita perluaskan buat pedoman saudara-saudara kita yang masih jauh dari Allah? Setiap Muslim memiliki skop yang tersendiri dalam melicinkan arus kebangkitan. Kebangkitan Islam suatu yang dijanjikan. Mudah-mudahan kita tidak terputus dari ikatan rantai perjuangan.

Mereka di sana berjuang dengan lumuran darah. Bila semboyan memanggil, moga jiwa kita telah bersedia. Doa dan Qunut Nazilah buat semua yang tersiksa demi sebuah ikatan! Ikatan akidah Islam yang tiada sempadan!

Di dalam surah Al Hajj ayat 77 - 78 Allah Taala telah berfirman :
Maksudnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solah) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah ‘amal-’amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu kejalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (Untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama (ikutilah) agama bapa kamu Ibrahim dan Dia menamakan kamu orang-orang lsla semenjak dahulu dan dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang- orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia tentang yang benar dan yang salah. Oleh itu dirikanlah solah dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah.  Dialah pelindungmu, maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.”


1 comment: