Monday, November 22, 2010

Kecewa Cinta


 Saya terkesima ketika mendengar kisah salah seorang rakan saya. Pada asalnya, beliau adalah seorang lelaki soleh yang berada di lingkungan tarbiyyah. Tetapi, kerana kesilapan diri sendiri, beliau terpaksa berpindah ke persekitaran sekolah lain yang lebih terbuka. Kejutan budaya berlaku. Selepas berkenalan dengan seorang perempuan yang perempuan yang mungkin berwajah menarik, beliau terus berharap sepenuh hati. Sayang sekali, perempuan tersebut tidak berlaku jujur. Setelah menyedari ketidaksetiaan cinta pertamanya, dia terus berubah. Mentaliti 'playboy' telah merasuknya. Tangannya mula gemar merosakkan kehormatan si rusuk kiri yang lain semata-mata kerana 'frust' dengan suatu perhubungan yang dikhianati.

 Kerana suatu ujian hidup, kadangkala manusia lupa kepada siapa harus dipasrahkan taqdir. Mungkin, Allah sekadar ingin menguji setahap mana potensi takwa yang kita pelihara. Kasihan, apabila saat cinta insan tidak berpautan, cintamu kepada tuhan kemudiannya terabai. Syaitan sebagai pencinta nafsu lalu menghasut kerajaan akal yang telah kehilangan menteri iman seterusnya menjerumuskan jasad ke lembah kedurjanaan.

 Allah bersamamu saat kau mahu bersamaNya. Tabahkan hatimu, Allah menguji keIKHLASanmu. Adakah kau mencintai si dia kerana Allah ataupun yang lain. Andainya redhaNya adalah destinasi, sebarang taqdir yang bertentangan dengan nafsu akan mudah diredhai emosi asbab akar ikhlas sebagai paksi.

 Allah mengujimu saat kau istiqamah memujiNya. Kuatkan jiwamu, Allah menguji keSABARanmu. Sabar terbahagi kepada tiga:

(1)Sabar melaksanakan ketaatan

-syabas sekiranya dirimu berterusan taat walau sebagai manusia biasa hatimu remuk kerana ketentuanNya.

(2)Sabar dalam mengelakkan maksiat

-Kelukan lidahmu dari bicara kufur, kerana ianya adalah dosa hati yang memeritkan fitrah. Tahanlah tanganmu dari merosakkan kehormatan si rusuk kiri yang lain sebagaimana kau benci andai saudara perempuanmu dinodai.

(3)Sabar dalam menghadapi musibah

-Ambillah iktibar daripada segalanya sebagai momentum terbaik bagi mematangkan kita. Barangkali selepas ini, dirimu akan lebih teguh seteguh Ali radh.

 Allah menaburkan kurniaNya ketika kau kekal bersyukur kepadaNya. Inilah tandanya bahawa Allah masih menyayangimu. Dia mengujimu agar hatimu lembut di rintihan sayu saat munajatmu. Dia mentarbiyyah hatimu agar lebih tabah lantaran rona-roni dunia kini mengkehendaki insan yang tabah agar cinta dunia tidak mengkaburkan cinta Allah yang bersemi. Gantungkan harapanmu kepadaNya agar Allah Yang Maha Kuasa mempertemukanmu dengan si rusuk kiri yang lebih baik. Tiada yang mustahi bagi Allah. InsyaAllah.

 Kita kan hambaNya. Memang selayaknya kita diuji. Cinta; fitrah suci yang tidak sewarasnya diselubungi fitnah hasil nafsu sarakah manusiawi. Sentiasalah yakin bahawa Allah ingin menguji sifat ikhlas, sabar dan syukur di dalam sanubarimu.

 "Dari Abu Sa'ad Bin Malik bin Sinan al-khud ra., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "dilarang menimpakan bahaya dan dilarang membalas bahaya (dengan bahaya serupa)."

(HR IBNU MAJAH, DARUQUTHNI)

No comments:

Post a Comment