Sunday, October 31, 2010

Wasiat untuk mantan Penggali Agama



 Kasihan saya merasakan ketika menyedari ada antara teman-teman seperjuangan yang dahulunya berstatus soleh dan solehah telah berubah dahsyat apabila tamat sahaja 'akad perolehan sijil' dan menceburkan diri ke arena realiti kehidupan.

 Tanpa iman yang kukuh, ilmu yang luas dan 'amal yang mantap, maka manusia akan mudah hanyut ditarik arus globalisasi yang jarang mengenal ihsan.

Wahai sahabat,

 Bersabarlah, memanglah mungkin tiada lagi teman-teman yang kukuh kerohaniaannya berdiri di sampingmu. Tetapi, bukankah tuhan itu hampir, Allah sentiasa ada bersama kita.

 "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran"

(SURAH AL-BAQARAH, 2:186)

 Amanatilah amanat ustaz dan ustazah kita. Kerana mereka pernah dan telah merentasi tipu daya duniawi ini, lebih awal dan lama berbanding kita.

 Ambillah perlembagaan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai ketetapan yang dipakai tanpa bersyarat. Kalau dahulunya hati kita dijinakkan untuk mendekati Islam melalui pujian apabila ber'amal soleh, dimarahi apabila terlanjur mungkar, dihargai apabila bersabar, dikagumi apabila bersyukur dan dimuliakan apabila memeluk erat roh hidayah, maka kini ikhtiarkanlah dengan bermujahadah bagi mendapatkan hakikat ikhlas dan ihsan. Ingatlah bahawa Allah itu sentiasa hampir. Hampir sekali Dia denganmu.

 Cintailah sesuatu sekadarnya sahaja. Hanya cinta yang total adalah untuk Allah dan RasulNya. Cinta kepada insan hanyalah sekadar perhiasan di dunia yang sifatnya sementara ini. Kagumilah sirah Rasulullah s.a.w, para sahabat radh. dan Salafussoleh yang diredhai melebihi kekagumanmu terhadap artis-artis popular yang masih tidak tentu baik buruknya. Andai kita mencintai Allah, maka Allah pasti mencintai kita kembali. Semasa kita mengirimkan salam kepada Baginda s.a.w yang mulia, maka salam itu akan berjawab.

 Tak semua yang kita buat adalah betul. Melalui manhaj ahlul sunnah wal jamaah, silalah susuri piawaian keredhaanNya dan visi serta misi Rasulullah s.a.w yang berhati tulus. Islam itu sentiasa menimbulkan solusi yang terafdhal buat kita seandainya kita sebagai hamba yang dhaif benar-benar bergelar mukmin juga muttaqin.

 "'Sibghah Allah' siapa yang lebih baik 'sibghahnya' daripada Allah? Dan kepadaNya kami menyembah"

(SURAH AL-BAQARAH)

-mushaf al-Quran Darul Iman menafsirkan,
 'Sibghah Allah':artinya celupan Allah, maksudnya agama Allah

 Penampilan dan pemikiran manusia sememangnya berhakikat lemah. Yakinlah pada janji Allah dalam setiap keadaan. Akuilah kelemahan diri sendiri. Tiada ertinya meyakini kekuatan diri sendiri andai Allah menjanjikan bantuan kekuatanNya ketika kita bersusah-payah mentaati seluruh perintahNya dan menjarakkan diri dari kemurkaanNya. Dampingkan kalbu kita denganNya dengan Doa yang khusyuk, turutilah laluan asbab melalui iktiar yang mujahadah dan letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah dalam tawakkal yang tulus. Semoga Allah merahmatimu.

 "Dan sekiranya mereka benar-benar rida dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Allah dan RasulNya, dan berkata "Cukuplah Allah bagi kami, Allah dan RasulNya akan memberikan kepada kami sebahagian dari karuniaNya. Sesungguhnya kami orang-orang yang berharap kepada Allah"

(SURAH AT-TAUBAH, 196:59)

 Telah ditaqdirkan para mantan Penggali Agama perlu memikul mandat Islam di bahu-bahu mereka. Hasilnya nanti, adalah redhaNya.

No comments:

Post a Comment