Saturday, October 2, 2010

Coretan syawal



Syawal kali ini, bagaikan suatu petanda bahawa saya sudah sepatutnya berkelakuan lebih matang. Layanan daripada kerabat keluarga yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, di samping pemberian duit raya yang semakin pupus menandakan takat usia yang baru bagi diri ini.

 Niat beraya pula perlu lebih bersih daripada mengharapkan "sampul ang pow", malahan lebih afdhal diniatkan semata-mata untuk merapatkan silaturrahim kerana Allah yang Maha Pengasih.

 'Dari Anas radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Mana-mana hamba yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana Allah maka akan datang malaikat dan menyeru daripada langit: "Bergembiralah kamu dengan kehidupan syurga untuk kamu, dan Malaikat di arash pula menyeru" Hambaku telah datang menziarahi saudaranya semata-mata keranaKu maka telah wajib bagiku untuk melayaninya sebagai tetamu, dan sebagai balasan keredhaanNya tidak kurang baginya ialah syurga.' (HR BAZZAR)

 Seperti biasa, surau al-Muttaqin iaitu surau berdekatan di taman perumahan saya sarat sekali dengan jemputan marhaban aidilfitri petanda limpahan rezeki dari khazanahNya. Alhamdulillah.

 Dalam keghairahan beraya sakan, sama ada mahu atau tidak, fokus utama bagi tahun ini adalah Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Jemputan dari seorang pak cik yang mengajak saya bagi bermarhaban di rumahnya pula terpaksa ditolak selain beberapa kemahuan lain yang terpaksa saya korbankan. Semoga pengorbanan yang masih kerdil dalam memetik bait-bait kebijaksanaan ini akan berbaloi nanti. Saya hanyalah makhluk yang sewajibnya berikhtiar bermati-matian sedangkan Allahlah yang menentukan pengakhiran.

 Ya Allah, ku mohon dikurniai kekuatan hafazan, kefahaman agama serta keikhlasan niat.
 Amiin, ya Rahman ya Rahim.


No comments:

Post a Comment