Saturday, October 2, 2010

Warkah ke Hati Murabbi



 Wahai Murabbiku, ku syukuri nikmat ilmu titisan susah-payahmu walau dalam sukar juga senang. Terima kasih. Kalian begitu banyak mengajarku yang jahil ini bagi bergelar 'alim agar tidak kekok kala berdepan duniawi yang menipu supaya dapat ku sampai ke syurga ukhrawi. Terima kasih yang tidak terhingga wahai guruku.

 Tetapi, entahlah, mungkin aku yang masih tidak mengerti. Kadangkala ada masanya percakapan diri ini tidak gemar didengari olehmu, mungkin lantaran dosa-dosaku dahulu yang pernah melukakan hatikan. Aku mohon maaf wahai Murabbiku.

Wahai Murabbiku,

 Aku sekadar insan biasa. Akulah remaja yang bergelora jiwanya, yang masih tidak bijak berdepan dengan keengkaran nafsuku sendiri, yang masih tidak kuat dalam mentaati seluruh perintah tuhanku serta sunnah rasulku, yang masih mencari-cari erti dalam kehidupan ini, yang setiap hari berdepan pilihan sama ada ingin terus syukur ataupun kembali kufur, yang maksiat seringkali menggoda aku yang lemah ini, yang 'amal soleh masih terasa berat lantaran budaya kemungkaran yang melingkari remaja seperti aku.

Kerana,

 Akulah remaja yang cuba-cuba memegang bara Islam. Seringkali, panasnya terlalu menyakitkanku serta bahangnya membakar sanubariku yang diliputi noda. Lantas, kadangkala aku lepaskan bara Islam itu. Kerana, aku insan yang lemah. Memang aku punya fitrah, tapi tetap pasti punya nafsu.

Wahai Guruku,

 Peganglah tanganku, kuatkan pendirianku, teguhkan semangatku. Ku harapkan agar kau membantuku agar diletakkan kembali bara Islam itu ke telapak tanganku, kerana, aku tidak kuat mengambilnya sendiri. Sudah seringkali aku tewas. Nafsu menumpaskanku, syaitan memperdayaku serta dunia mahu aku terus tertipu lalu menarik aku ke dalam kelekaan.

 Wahai Murabbi yang ku kagumi,

 Pimpinlah aku dalam sabarmu. Kerana jiwaku bukan mudah ditenangkan dan nafsuku mudah ditaklukkan. Akulah remaja yang memerlukan insan sepertimu. Yang bijak dalam tuturnya, yang sabar berdepan mehnah, yang tidak mudah melatah berdepan fitnah serta yang juga butir bicaranya membawa aku hampir ke mehrab rukuk dan sujud.

 Alhamdulillah, segala puji kepada Allah,

 Terima kasih kerana sudi memahami. Terima kasih kerana sudi menatap luahan ini yang entah apalah sangat nilaiannya. Warkah ini bukanlah nukilan karyawan ternama. Tetapi, sekadar karya daripada seorang manusia biasa yang amat mengharap redha guru-gurunya. Allahua'lam.

Wassalam

No comments:

Post a Comment