Thursday, October 18, 2012

Monolog seorang sepi



Dia di bilik itu, duduk keseorangan. Seperti biasa. Senyap, sunyi. Sesekali terdengar sayup-sayup sahutan suara dari kem bina negara berhampiran, merawat kesunyian. Beginilah asrama di blok X, tidak bising dan agak hening. Tidak semeriah di asrama Y. Ramai kawan-kawannya berada di blok sebelah sana. Barangkali, kerana majoriti di sini mengambil Ijazah, ramai yang bersantai di luar kampus seusai waktu kuliah. Kalau di asrama Y, kebanyakannya masih di peringkat diploma, asramalah tempat mereka berpesta sakan dan menyanyi-nyanyi menghiburkan hati. Di kampus ini, siswa-siswi diploma diharamkan menjejak kaki ke luar kampus jika tiada keizinan dari pihak HEP. Semua aktiviti di dalam kampus saja. Cerewet.

"Ukhwah??"...hmmm". Seberkas keluh terhembus. Dia merenung kosong. Air mata bergenangan. Sunyi, itulah sahaja temannya.

Dia masih ingat, kemesraannya dengan kawan-kawan sefakulti ketika mereka tinggal di bilik dekat-dekat. Tak perlu berjalan jauh kalau nak ziarah. Ketika mula-mula mendaftar di kampus ini, ramai yang berasa payah untuk membiasakan diri dengan silibus yang lebih mencabar. Namun, beban dirasakan ringan dengan ikatan persaudaraan yang acapkali menjadi muara ketenangan. Kisah suka duka dikongsi bersama. Sama-sama ketawa, sama-sama bersorak, sama-sama menempuh sebuah dunia baru. Masih kuat di ingatan bagaimana mereka menghadapi program orientasi ketika minggu suai kenal. Dimarah, dijerkah, ditekan, semuanya didepani bersama. Apabila jatuh, bingkas bangkit bersama huluran tangan membantu.

Dia rindukan ukhwah itu.

"Ukhwah ni, pada suasana je ke? Bila geng kita menang, ukhwah kuat. Bila geng kita kalah, lemah, lantaklah engkau. Ni je ke nilaian ukhwah".

Kini, dia sedari perubahan itu. Ya, dunia ini berubah. Ikatan ini pasti diuji. Dia juga diuji. Kalau dulu, biliknya hampir dengan mereka. Sebelah-menyebelah. Seringkali dia diziarahi dan mudah baginya menziarahi kawan-kawan lain. Sapaan serta bertanya khabar ialah halwa telinga yang sering berdendangan, sekaligus mengeratkan rasa muhibbah. Keakraban terasa di pelusuk dada, menyenangkan hati menenangkan jiwa.

"Sem baru ni, aku pindah blok lain. Bukanlah jauh sangat pun. Berapa ramai yang sanggup ziarah. Datang, jumpa, jenguk aku. Aku sanggup, kerana ukhwah pergi ziarah diorang di blok asrama Y sana. Tapi diorang, berapa ramai yang sudi datang ke bilik aku kat blok X ni??". Luahan perasaannya tidak lagi tertahan. Gelora di dada kian membara. Kesedihan lantaran terasa dipinggirkan.

Dia sedar, ia sudah berubah. Iklim ukhwah nampak tidak lagi sama seperti dulu. Dia tertanya-tanya akan ketulusan ukhwah yang dipupuk selama ini. Jika benar ianya tulus, jarak dan tempat tidak mampu merobek harga ukhwah. Sinergi yang tercetus akan berterusan menyatukan manusia yang berkasih-sayang kerana Allah.

Dia termenung. Seorang diri. Di bilik itu, di asrama blok X. Pegun.

Mungkin, dia masih menunggu kunjungan kawan-kawannya yang dirindui. Sementara secebis 'percaya' masih berkerlipan, dia masih menunggu. Dan perlahan-lahan, 'percaya' itu semakin menjauh.

No comments:

Post a Comment