Tuesday, November 30, 2010

Andai kau mencintai..




 Andai kau mencintai seseorang, biarlah kerana Allah. Umpama di sebuah pelayaran, nakhoda yang tidak punya destinasi akan sesat digulung ombak yang tidak berperikemanusiaan. Namun, andai destinasi telah tertetap utuh, maka travelog mula menjadi teguh, tidak mudah terumbang-ambing, tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katik, malah mudah pula kemaslahatan dalam pelayaran muncul satu persatu. Sebagaimana itu jugalah insan, andai tanpa peta akhirat sebagai perkampungan impian, maka bagaimana mungkin takrif kebahagiaan hakiki bisa dikenalpasti dan seterusnya dimanifestasi sebagai amalan lahiriah yang menjanjikan pahala dan ketenangan di dalam hati yang tulus? Jadi, apabila anda jatuh cinta..jangan biarkan dirimu terumbang-ambing dalam mabuk rindu yang kadangkala melalaikan. Paksikan kasihmu pada Yang Satu agar kelak Allah menyatukanmu dengan kekasih hatimu dalam suasana keredhaanNya.

 Kasih sang kekasih lazimnya menuntut bukti. Buktikanlah cintamu kepada Allah Yang Maha Pengasih melebihi kecintaanmu kepada manusia yang diciptakanNya. Andai syariatNya kau injak-injak, maka apalah lagi jaminan kebahagiaan hakiki yang wujud di perlembagaan ilahi? Cinta yang tidak terikat pada tali syariat akan mudah terhuyung-hayang umpama si layang-layang yang putus talinya. Sangkaan manusia, inilah kebebasan..namun realitinya, persoalan demi persoalan yang wujud di kalbu terdalam menenggelamkan ketenangan yang disangkakan akan dimiliki selama ini. Renungilah hatimu setulus-tulusnya agar kau temui sinar rahmatNya yang takkan sirna.

 Andai kau mencintai seseorang, jangan kau letakkan pengharapan kepada manusia biasa secara keterlaluan. Kerana, manusia tetap manusia, bukan malaikat. Hati ini boleh sahaja berbolak-balik dengan izanNya. Jangan kau terlalu mengharapkan pasangan yang terbaik, tetapi pilihlah yang terbaik dan sesuai untuk penghidupanmu dalam mendekatiNya.

 Andai kau terlalu menganggap si dia yang kau cintai itu sempurna. Taku-takut nanti semakin ketidak sempurnaan dirinya makin kau lihat lalu kemudiannya membuatkan hatimu kecewa. Tawakkalkanlah urusan itu kepada Allah pasca ikhtiarmu yang diiringi batasan syariatNya. Moga Allah bersamamu andai benar niat ikhlas sebagai asas perhubungan.

 Cintailah seseorang itu kerana Allah dan biarlah Rasulullah s.a.w sebagai modelmu dalam mencintai insan sebagaimana manusia agung tercinta ini mencintai sesama saudaranya. Biarlah syurga yang terisi segala kecintaan menjadi destinasi buat dirimu dan insan yang kau cintai agar amalanmu menepati amalan-amalan para ahli syurga yang diliputi keredhaan Allah yang sewajibnya dicintai melebihi segala-galanya.

 Allah s.w.t; Dialah Pencipta Cinta, Pentadbir Hati dan Penentu Taqdir. Sayugia, khabarkanlah kepadaku, bagaimana mungkin kau temui bahagia hakiki andainya kehendak ilahi tidak dituruti malahan nafsu yang buta mata hati kau jadikan madah percintaan?? TANYALAH HATIMU SENDIRI, KAU AKAN TEMUI JAWAPANNYA...ITU PUN ANDAI KAU JUJUR..

Monday, November 29, 2010

Betul!! Bermunajat kepadaNya lagi best drpd tackle awek.





(1) Kalau korang tacke awek, masih tak pasti dapat ataupun tak, kadang-kadang dapat malu jer..

tapi..

Allah s.w.t akan sentiasa menyahut setiap luahan hati hambaNya tanpa jemu. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadaMu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat..." (SURAH AL-BAQARAH, 27:186)

(2) Kalau korang tackle awek, makin korang hampir dengan awek tu, tak kira la budak U ke..budak kilang ke..budak2 sosial ke..korang kena makin banyak habiskan harta korang untuk perempuan tu..

tapi..

Allah s.w.t akan memberi ganjaran yang besar bagi hambaNya yang taat beribadah kepadaNya. Dialah Pemilik Mutlak segala nikmat. Bahkan, nikmat yang belum dilihat lagi dijanjikan di akhirat nanti, pasti lebih hebat!

"Kebajikan apa pun yang kamu peroleh, adalah dari sisi Allah...(SURAH AN-NISA', 4:79)

(3) Kalau korang minta apa-apa daripada awek korang, tak confirm lagi apa yang korang nak tu korang dapat. Kadang-kadang, dapat maki jer..

tapi..

Allah s.w.t Maha Pemurah, Dia boleh berbuat apa sahaja sedang kurniaNya tidak terjangkau di logika kita. Maka berharaplah kita kepadaNya.

"Tidakkah kamu tahu bahawa Allah memiliki kerajaan langit dan bumi? Dan tidak ada lagi pelindung dan penolong selain Allah". (SURAH AL-BAQARAH, 17:107)

(4) Tak semestinya awek korang tu akan setia sampai bila-bila. Hati manusia, sifatnya lazim berbolak-balik. Mungkin hari ni dia dengan korang..tapi, korang boleh jamin untuk esok?

tapi..

Allah s.w.t akan sentiasa bersama hamba-hambaNya yang bersabar dalam mengharapkan redhaNya. Sungguh, Allah s.w.t itu Maha Penyayang.

"...Sungguh Allah beserta orang-orang yang sabar." (SURAH AL-BAQARAH, 23:153)

(5) Tak semestinya yang korang tackle tu berbaloi untuk korang. Kadang-kadang, ntah apa-apa je la. Dan mungkin si dia tu tak serasi untuk korang.

tapi..

Allah s.w.t sentiasa berbaloi untuk didampingi dan ditaati. Ganjaran yang tak terlihat namun tetap terasakan pasti di pertimbangan neraca iman yang ampuh cukup menyedarkan empunya mata hati yang bersinarkan janji mengabdikan diri kepadaNya.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan."
 (SURAH AT-TUR, 52:17)

(6) Kadang-kadang, nafsu yang wujud akan menyebabkan hati korang tewas lantas memungkinkan tindakan-tindakan-tindakan yang melangkaui norma keimanan.

tapi..

Nafsu korang akan terdidik dan tunduk kepadaNya. Lantas ketenangan hakiki akan menyelimutimu lembut. Percayalah, tiada yang lebih memberi kebahagiaan melankan melalui keredhaanNya.

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya maka sungguh, surgalah tempat tinggalnya." (SURAH AN-NAZI'AT, 79:40-41)

(7) Yang paling pasti, korang takkan dapat bersama awek korang sampai bila-bila. Korang perlu terima hakikat, setiap manusia pasti akan mati dengan ketentuanNya.

tapi..

Allah s.w.t Maha Kekal. Dia akan sentiasa ada untuk hamba-hambaNya. Di saat hambaNya kesunyian, Dia tetap ada untuk hambaNya mengadu. Di waktu tiada lagi teman setia, maka Dia tetap sentiasa ada untuk hambaNya berharap segala-galanya.
"Tidakkah mereka mengira, bahwa sesungguhnya mereka dibangkitkan. Pada suatu hari yang besar. (iaitu) pada hari (ketika) semua orang bangkit menghadap Tuhan seluruh alam." (83:4-6)

Termalah hakikat..

Tiada tuhan selain Allah, tiada yang lebih dicintai melainkanNya, tiada yang lebih diletakkan pengharapan melainkan kepadaNya.

Apabila mencintai seseorang, biarlah diikhlaskan keranaNya. Biarlah syariat Islam menjadi bukti setulus mana cinta itu diniatkan keranaNya. Moga apabila kita mencintai seseorang keranaNya, maka Allah s.w.t akan menyayangi perhubungan tersebut lalu menaburkan sakinah dan rahmatNya yang menjadi idaman para perindu dan pencinta yang tulus nan jujur. InsyaAllah.

Wallahua'lam..

Takwa sang cinta

Dalam cinta
tangis duka
senyum tawa
biarlah asasnya takwa

Setulus cinta
hening hati ialah saksi
bisiklah ke hati
untuk apa
terpancar cinta ini?

Andai cinta bermadah nafsu
bagaimana mungkin?
terhasil mulia hakiki
damai abadi?

Andai tulusnya hati
terukir cinta suci
bermekarkan kasih ilahi
bersinarkan sunnah ar-Rasul
moga simpulan
berpanji jihad
agar cintamu
temui cintaNya
bersama si dia
biarlah nanti
tetap bersama
sampai di syurga

Sunday, November 28, 2010

Tips elak persentuhan haram



 Suasana sosial seringkali melemaskan sang muslimah di dalamnya. Terkadang, tanpa disangka..ada huluran salam mesra yang ingin berjabat tanpa mengendahkan batasan sesama bukan muhrim. Semoga perkongsian ini akan mewujudkan sesuatu yang praktikal dalam memelihara kehormatan total bersandarkan keadaan dan situasi lalu memutuskan jtihad terbaik.InsyaAllah.

(1) Terangkan secara berhikmah

-Jelaskan kepadanya bahawa kerana tubuh seseorang muslimah adalah kehormatan yang amat bermartabat, maka ia tidak halal disentuh oleh lelaki ajnabi yang belum halal baginya.

(2) Mengangkat tangan sekadar simbolik sapaan

-Lelaki ajnabi tersebut akan lebih memahami bahawa berjabat tangan sesama bukan muhrimbukanlah budaya bagi iman anda.

(3) Berpura-pura mengangkap telefon bimbit

-Helah dibolehkan andai wujudnya keperluan syar'iah

(4) Zahirkan wajah ketegasan

-Berkemungkinan air muka anda berupaya mengubah haluan niatnya lantaran terzahirnya pancaran takwa yang tajam dan tegas.

(5) Katakan "maaf"

-Dengan penuh kesopanan seorang muslimah, beritahu lelaki tersebut bahawa anda tidak mahu bersalaman dengannya kerana ianya bukanlah adab dalam kemuliaan Islam.

(6) Mengelakkan sedaya upaya

-Andai anda telah mengenalpasti keperibadian seseorang lelaki itu tidak menghorhati perlembagaan ilahi dan tidak menghormati hak kehormatan seseorang muslimah, maka elakkanlah dengan bijaksana daripada bermuamalah dengannya tanpa keperluan yang syar'i

INSYAALLAH

 Seorang muslimah yang hatinya telah beriktikad kuat di dalam hatinya akan lebih teguh seteguh Maryam a.s dalam memartabatkan maruah kehormatannya. Semoga Allah s.w.t mengurniakan kita kekuatan dalam mengamalkan kesempurnaan Islam di akhir zaman kini yang sarat dengan hipokrasi.

Damai rindu

Ku rindui
saat dulu itu
meskipun sengatnya berbisa
namun tetap mahu
menghangatkanku

Ketika wakru
tarbiyyah bersenandung
mendendangkan puisi kasih
meniupkan roh mujahid
menebas makar sang kuffar
gagah
menggalas syiar

Ku rindui suara Da'i
nan jujur amat
manghambur hangatnya hidayah
persis purnama
caknanya berleluasa
sedang
akulah pungguk
perindu redhaNya

Ku rindui kalam Murabbi
penghibur nurani hati
moga
terhapus hijab-hijab pekat
tak lagi
ingin ku berpaling
ke gelapnya silam

Dalam rindu
yang amat dirindui
perburuan ini terus bertebaran
dalam menagih
cinta Sang Pencipta
yang nanti
di perbatasan waktu
berteduhnya
para perindu tegar.


Onak kelekaan

Keduniaan
melalaikan aku
terus ku terleka di pawana pesona palsu

Oh sungguh
hinanya diriku
ketika
sahabat-sahabatku
berlarian lekas
ke pintu syurga
sedangkan aku
sekadar
melihat..

Ya ALLAH,
lemahnya aku

Kuingin kembali ke arena mujahid
ku lelah amat
di bumi sang fasiq

Ya Allah,
ku akui kehinaanku
ku mohon
kembalikanlah aku
aku ingin pulang
sebelum fajar
tidak
terlihat lagi

Selamat tinggal Maahad Johor..

 Hari terakhir di permuqiman ilmuwan Islam amat sayu terasa. Akan tetapi, perjuangan harus diteruskan. Sahabat-sahabat seperjuangan beransur-ansur beredar daripada mahligai ilmu ini yang banyak menitiskan nur kebenaran ke dalam hati-hati kami warganya. Terlalu bayak rasanya lafaz 'syukran' yang mahu diberitakan kepada sahabat handai semuslim yang acapkali menegur, mengkritik dan memimpin saya dalam masa 10 bulan yang terasakan pendek ini. Turut amat saya hargai ialah guru-guru yang bermartabat mulia..moga Allah merahmati mereka, AJK juga penyelia Maahad Johor yang tekun mengemaskini kemaslahatan suasana tarbiyyah sehinggakan para warganya bagaikan berada di taman-taman syurga.

 Al-Fatihah disedekahkan kepada para pengarang kitab-kitab mukhtabar yang banyak menyinari benak mentaliti. Semoga semua ilmu yang dicerap tidak terlerai sekadar di dewan peperiksaan. Harap-harap, nur ilmu ini kelak akan menyinari laluan pancaroba hari ini yang menyaringkan hanya muslimin muslimat yang ampuh imannya mampu bertahan. InsyaAllah.

 Terima Kasih Maahad Johor. Terima kasih guru-guru, sahabat handai, sang saudara semuslim pencetus inspirasi, aurora ilmu serta kaca-kaca kenangan yang akan ku bingkaikan dalam album ukhwah fillah selamanya...

Monday, November 22, 2010

Perisai Sang Muslimah

 Realiti hari ini menghentak sanubari saya agar bangkit bagi mempertahankan salah satu amanah kaum muslimin; iaitu para muslimahnya. Perkongsian ini merupakan suatu metodologi yang diharap dapat meluruskan emosi kaum hawa dalam berinteraksi dengan yang bukan mahram. Semoga fenomena saling rosak-merosakkan hari ini akan menemui penawarnya kelak.

Lelaki secara amnya terbahagi kepada;

(1)Lelaki berorientasikan tanah
(2)Lelaki berorientasikan air
(3)Lelaki berorientasikan api
(4)Lelaki berorientasikan angin

1-Profil lelaki berorientasikan tanah

*Berhadapan ancaman cinta dunia
*berwajah berprinsip
*mementingkan intelektual
*kekuatan dalam fikir
*ketenangan dalam kebenaran

 Seorang muslimah dalam mengukur kesolehannya dengan mudah adalah dengan memerhati ideologi pemikirannya. Islamik ataupun Fasiq? Aliran wangnya pula perlu diperhatikan. Adakah demi yang halal ataupun haram? Juga ketika membicarakan subjek keagungan islam. Ukurlah keyakinan intelektualnya dalam menetapkan Islam sebagai suatu kesyumulan. Keteguhan anda dalam menegakkan al-Quran dan al-Sunnah akan semakin menambat hatinya andai si dia berstatus soleh.

 Andai kesolehan bukanlah kecintaannya, anda akan menyaksikan kerakusannya dalam membelot segala-galanya sebagai manifestasi cinta dunia yang bertapak. Andai anda sudah bergelar isterinya, bentuklah mentaliti islamik secara berhikmah, semoga Allah mengurniakannya hidayah.

*Ayat-ayat manis yang lazimnya ditutur:

-"Saya ni lelaki baik tau"
-"saya ada segala-galanya"
-"Awak fikir la betul-betul, syang memang sukakan awak"

*Tafsiran ihsan

 Lelaki baik yang sebenar adalah sang pejuang yang menurut sunnah Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya, segala-galanya adalah pinjaman yang sementara dan milik mutlak Allah s.a.w. Pilihlah al-Quran dan al-Sunnah sebagai piawaian dalam anda membuat pilihan.

2-Profil lelaki berorientasikan air

*Berhadapan ancaman nafsu
*berwajah tegas
*mementingkan fizikal
*kekuatan dalam zikir
*ketenangan dalam amanah

 Hubunngannya dengan Allah adalah penzahiran yang mudah dalam menggugat kesolehannya. Sewaktu tiba detik solat, saksikanlah air muka mereka, Sama ada melukiskan keghairahan ataupun tidak. Perhatikanlah kekhusyukan solat mereka serta ketakwaan mereka dalam menundukkan pandangan agar ancaman nafsu tidak mengkhianati hati. Anda akan merasa aman dengan keelokan akhlak mereka andainya berstatus soleh sebagai natijah zikrullah yang istiqamah. Kadangkala, ketegasan mereka dalam melantangkan kebenaran mampu memberi impak maksima ke atas ketulenan islam.

 Elakkan sedaya upaya daripada bertemu tanpa mahram lantaran anzaman nafsu yang menghinggapi. Andai anda adalah isterinya, perbanyakkanlah doronganmu dalam menghadirkan keinginan beribadat kepada Allah sebagaimana selayaknya kita sebagai hamba.

*Ayat-ayat manis yang lazimnya ditutur:

-"Rugi kalau awak tak terima saya"
-"Awak beruntung kalau dapat saya"
-"Saya betul-betul sayangkan awak tau"
 
*Tafsiran ihsan

 Kerugiaan hakiki adalah andai kehilangan cinta Allah. Keuntungan yang berbaloi adalah dengan akad nikah yang sah. Hanya Allah s.w.t yang benar-benar menyayangi hamba-hambaNya yang taat dan solehah.

3-Profil lelaki berorientasikan api

*Berhadapan ancaman godaan syaitan
*Berwajah comel
*mementingkan emosi
*kekuatan dalam syukur
*ketenangan dalam menyampaikan/berkongsi

 Sebaiknya anda memerhatikan dengan siapakah si dia bersahabat. Kelompok yang bagaimanakah? Yang gemarkan kebaikan atau yang menolaknya? Lelaki sebegini lazimnya mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Kata-kata yang sering diucapkannya dapat mengukur tahap kesyukurannya terhadap nikmat tuhan. Kesolehannya dapat anda rasai semasa si dia mengajak anda mendekati kebaikan berlatarbelakangkan islam sebagai simbolik kesolehan. Kemahirannya dalam berdakwah adalah permata yang silauannya mengkaburkan penglihatan para pendusta.

 Andai dirinya bukanlah insan soleh, semakin galaklah syaitan menariknya ke lembah kefasiqan bersama teman-teman perindu kemungkaran. Berhati-hatilah, mungkin anda juga boleh turut terjebak! Kukuhkanlah imanmu dengan malu sebagai benteng. Andai anda adalah isterinya, dakwahkanlah si sia ke arah kebaikan dan berhati-hatilah dengan setiap teman-temannya.

*Ayat-ayat manis yang lazim dituturkan:

-"Saya nak sentiasa bersama awak"
"Awak perlu sentiasa di samping saya"
-"Kalau awak tak de, saya rasa sunyi sangat"

*Tafsiran ihsan:

 Sentiasa berzikrullah adalah lebih afdhal. Feqh syar'iah perlu dikuatkuasakan sebagai bukti ketinggian maruah mu. Ingatkannya mengenai betapa hampirnya Allah s.w.t dengan para hambaNya.

4-Profil lelaki berorientasikan angin

*Berhadapan ancaman keegoan manusiawi
*berwajah tenang
*mementingkan spiritual
*kekuatan dalam sabar
*ketenangan dalam kebijaksanaan

 Sifat tawaddhu' dan zuhud sinonim sekali dengan lelaki soleh sebegini Dia kerap kali merendahkan hatinya hatta manusia lainnya amat menyanjunginya. Anda dapat mengagak kesolehannya dalam ptiap pertuturannya yang bersalut hikmah bersandarkan wahyu ilahi. Kesabarannya amat dikagumi dalam melalui ranjau epilog kehidupan yang berpanahan para pendusta tuhan. Ketenangannya bpula bak hembusan angin yang menyamankan. Semoga anda dapat menghadam tiap bait-bait takwa yang dituturkan.

 Andai keegoannya menolak personaliti kesolehan, maka anda seakan-akan melihat seorang makhluk yang bagaikan dirinya hidup selama-lamanya; egoistik sekali. Si dia sentiasa merasakan setiap ijtihadnya adalah al-Haq tanpa mempertimbangkan fakta-fakta analitikal yang lain. Pertuturan si dia yang kurang soleh ini amat gemar memperlekehkan individu lain tanpa keperluan syar'i. Perkara-perkara lagha pula acapkali dilentur lidah yang kadangkala bercabang dua. Andai anda memilikinya sebagai isteri, lembutkanlah hatinya dalam menyedari diri sebagai sekadar hamba Allah yang berhakikat hina.

*Ayat-ayat manis yang lazimnya dituturkan:

-"Apa kata kalau awak jadi seseorang yang istimewa bagi saya?"
-"Saya ingin membahagiakan awak"
-"Awak tercipta untuk saya, dan saya adalah untuk awak"

*Tafsiran ihsan

 Jadikanlah Allah s.w.t sebagai yang paling istimewa sebelum memasukkan yang lainnya agar Allah s.w.t tidak dilupakan tatkala kita mencintai si dia. Kebahagiaan hakiki adalah apabila beroleh redha ilahi, lantas batasilah hubungan mu dengan syariatNya. Ingatlah sentiasa janji-jNya bahawa lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik, manakala lelaki yang keji adalah untuk wanita yang keji.

*FORMASI OPTIMUM

 Tiada tuhan melainkan Allah, Nabi muhammad s.a.w ialah utusan Allah. Sang Muslimah adalah si rusuk kiri yang harus menghormati dirinya terlebih dahulu melalui pengaplikasian hijab yang optimum sebelum penghormatan daripada manusia dituntut. Apabila agama Allah dijaga rapi sebagai pengabdian diri, maka insyaAllah, ia akan menjadi perisai pelindung maruah manusiawi.

Wallahua'lam

Kecewa Cinta


 Saya terkesima ketika mendengar kisah salah seorang rakan saya. Pada asalnya, beliau adalah seorang lelaki soleh yang berada di lingkungan tarbiyyah. Tetapi, kerana kesilapan diri sendiri, beliau terpaksa berpindah ke persekitaran sekolah lain yang lebih terbuka. Kejutan budaya berlaku. Selepas berkenalan dengan seorang perempuan yang perempuan yang mungkin berwajah menarik, beliau terus berharap sepenuh hati. Sayang sekali, perempuan tersebut tidak berlaku jujur. Setelah menyedari ketidaksetiaan cinta pertamanya, dia terus berubah. Mentaliti 'playboy' telah merasuknya. Tangannya mula gemar merosakkan kehormatan si rusuk kiri yang lain semata-mata kerana 'frust' dengan suatu perhubungan yang dikhianati.

 Kerana suatu ujian hidup, kadangkala manusia lupa kepada siapa harus dipasrahkan taqdir. Mungkin, Allah sekadar ingin menguji setahap mana potensi takwa yang kita pelihara. Kasihan, apabila saat cinta insan tidak berpautan, cintamu kepada tuhan kemudiannya terabai. Syaitan sebagai pencinta nafsu lalu menghasut kerajaan akal yang telah kehilangan menteri iman seterusnya menjerumuskan jasad ke lembah kedurjanaan.

 Allah bersamamu saat kau mahu bersamaNya. Tabahkan hatimu, Allah menguji keIKHLASanmu. Adakah kau mencintai si dia kerana Allah ataupun yang lain. Andainya redhaNya adalah destinasi, sebarang taqdir yang bertentangan dengan nafsu akan mudah diredhai emosi asbab akar ikhlas sebagai paksi.

 Allah mengujimu saat kau istiqamah memujiNya. Kuatkan jiwamu, Allah menguji keSABARanmu. Sabar terbahagi kepada tiga:

(1)Sabar melaksanakan ketaatan

-syabas sekiranya dirimu berterusan taat walau sebagai manusia biasa hatimu remuk kerana ketentuanNya.

(2)Sabar dalam mengelakkan maksiat

-Kelukan lidahmu dari bicara kufur, kerana ianya adalah dosa hati yang memeritkan fitrah. Tahanlah tanganmu dari merosakkan kehormatan si rusuk kiri yang lain sebagaimana kau benci andai saudara perempuanmu dinodai.

(3)Sabar dalam menghadapi musibah

-Ambillah iktibar daripada segalanya sebagai momentum terbaik bagi mematangkan kita. Barangkali selepas ini, dirimu akan lebih teguh seteguh Ali radh.

 Allah menaburkan kurniaNya ketika kau kekal bersyukur kepadaNya. Inilah tandanya bahawa Allah masih menyayangimu. Dia mengujimu agar hatimu lembut di rintihan sayu saat munajatmu. Dia mentarbiyyah hatimu agar lebih tabah lantaran rona-roni dunia kini mengkehendaki insan yang tabah agar cinta dunia tidak mengkaburkan cinta Allah yang bersemi. Gantungkan harapanmu kepadaNya agar Allah Yang Maha Kuasa mempertemukanmu dengan si rusuk kiri yang lebih baik. Tiada yang mustahi bagi Allah. InsyaAllah.

 Kita kan hambaNya. Memang selayaknya kita diuji. Cinta; fitrah suci yang tidak sewarasnya diselubungi fitnah hasil nafsu sarakah manusiawi. Sentiasalah yakin bahawa Allah ingin menguji sifat ikhlas, sabar dan syukur di dalam sanubarimu.

 "Dari Abu Sa'ad Bin Malik bin Sinan al-khud ra., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "dilarang menimpakan bahaya dan dilarang membalas bahaya (dengan bahaya serupa)."

(HR IBNU MAJAH, DARUQUTHNI)