Monday, October 22, 2012

Huluran cahaya


Hidup ini adalah suatu perjalanan musafir yang jauh. Anggaplah alam kampus sebagai R&R yang memulihkan kembali ruhiyyah serta membekalkan fikrah yang teguh untuk berdepan cabaran mendatang. Apabila cuti menjelang, setiap mahasiswa akan berdepan realiti sebenar. Cabaran sebenar. Godaan sebenar. Di sini iman diuji. Di sini semua teori menuntut praktikal, ilmu memperlihat amalan.

Cuti, bukan tempoh untuk melempiaskan nafsu yang selama ini ditahan. Bukan waktu untuk membebaskan diri dari bi'ah solehah (suasanan islamik), bahkan ianya adalah potensi untuk menyebarluaskan dakwah buat ummah.
wake up la wei!

Terdampar di tengah-tengah zon cuti, saya tercampak ke dunia penuh selesa.

2 Minggu cuti berbaki, sudah terbit rindu pada tarbiyah, dakwah & ukhwah di Kampus. 100% correct apa yang Rasulullah sabdakan bahawa majlis ilmu adalah antara taman-taman syurga. Ya, saya rindukan haruman wacana ilmiah dan aroma usrah yang menebar di Darul Quran.

Saya kekosongan. kontang spiritual. Rindu pada aroma tarbawi.

Saya butuhkan inspirasi.

Dan ia, sejalur cahaya itu hadir dari insan biasa-biasa yang luarbiasa di mata saya lantaran secebis prihatin.

Pak Cik Bariman: Salah seorang Imam di Surau berdekatan (Surau Muttaqin). Aktivis HALUAN dan pernah beraktivisme di Palestin melalui misi kemanusiaan. "Teruskan belajar, kuatkan semangat, kita perlukan Hafiz"

Haji Ismail: Seorang jemaah Tabligh yang sentiasa akrab dengan mushaf al-Quran usai solat Zuhur dan Asar. Dia menginspirasikan saya melalui kekuatan ibadahnya yang menimbulkan insaf. "Biasalah..orang muda. Memang diuji. Ingat sentiasa, dunia ni sekejap je. Akhirat selama-lamanya. Orang muda macam awak ni, kalau taat..lagi Allah suka."

Ustaz Anam
Ustaz Shariful Anam: Beliau mendidik saya semasa di sekolah rendah. Seorang murabbi yang berkhidmat kepada masyarakat dengan kesungguhan. Menginspirasikan saya tentang tanggungjawab yang dimandatkan buat penuntut ilmu agama. "Anta kena ada rasa tanggungjawab kepada penduduk Taman Kota Jaya. Masyarakat kita dahagakan ilmu agama. Ana akan pergi satu masa nanti. Jadi, siapa yang akan gantikan ana?? Anta patut ambil alih tugas mengajar di sini. Kasihan masyarakat kita. Anta pun boleh lihat sendiri, masyarakat kita dahagakan ilmu agama. Kalau bukan pelajar bidang agama yang mengajar di surau & masjid..siapa lagi?"




Hati ini tersentuh...

Aku ingin kembali fitrah. Hidup di kelilingi suasana dunia, perlahan-lahan jahiliyyah meresapi hati. Ya Tuhan, aku ingin kembali ke landasan perjuangan...

Langkah kembali disusun, dari puing-puing kelalaian...

rindukan ukhwah




Jerebu


Dia terbatuk-batuk. Asap memenuhi ruang. Tekak terasa perit.

"Cis..macam mana nak makan macamni".

Mirip kebakaran, asap berkepul-kepul. Mujur tiada yang terkorban. Tiada yang mampus diserang sesak nafas. Cuma bersahut-sahutan 'penunggu makanan' terbatuk & terbersin.

"Kita yang kat luar ni pun asyik terbersin jer. Rasanya bulu hidung tukang masak dia macam unta punya kot. Tebal dan selamat dari digigit asap".

"Lain kali kalau makan kat kafe ni, aku nak pakai topeng muka, yang banat pula digalakkan berpurdah. Safety first. Elak barah bersin dan batuk berlendir", getusnya dalam hati sambil mengelak terjunan butir nasi dari seorang rakannya yang terbersin kuat.

Inilah sketsa biasa buat yang nak hilangkan lapar di Kafe DQ sambil menguji kesabaran.


"Cis!", ujarnya sekali lagi

Thursday, October 18, 2012

Monolog seorang sepi



Dia di bilik itu, duduk keseorangan. Seperti biasa. Senyap, sunyi. Sesekali terdengar sayup-sayup sahutan suara dari kem bina negara berhampiran, merawat kesunyian. Beginilah asrama di blok X, tidak bising dan agak hening. Tidak semeriah di asrama Y. Ramai kawan-kawannya berada di blok sebelah sana. Barangkali, kerana majoriti di sini mengambil Ijazah, ramai yang bersantai di luar kampus seusai waktu kuliah. Kalau di asrama Y, kebanyakannya masih di peringkat diploma, asramalah tempat mereka berpesta sakan dan menyanyi-nyanyi menghiburkan hati. Di kampus ini, siswa-siswi diploma diharamkan menjejak kaki ke luar kampus jika tiada keizinan dari pihak HEP. Semua aktiviti di dalam kampus saja. Cerewet.

"Ukhwah??"...hmmm". Seberkas keluh terhembus. Dia merenung kosong. Air mata bergenangan. Sunyi, itulah sahaja temannya.

Dia masih ingat, kemesraannya dengan kawan-kawan sefakulti ketika mereka tinggal di bilik dekat-dekat. Tak perlu berjalan jauh kalau nak ziarah. Ketika mula-mula mendaftar di kampus ini, ramai yang berasa payah untuk membiasakan diri dengan silibus yang lebih mencabar. Namun, beban dirasakan ringan dengan ikatan persaudaraan yang acapkali menjadi muara ketenangan. Kisah suka duka dikongsi bersama. Sama-sama ketawa, sama-sama bersorak, sama-sama menempuh sebuah dunia baru. Masih kuat di ingatan bagaimana mereka menghadapi program orientasi ketika minggu suai kenal. Dimarah, dijerkah, ditekan, semuanya didepani bersama. Apabila jatuh, bingkas bangkit bersama huluran tangan membantu.

Dia rindukan ukhwah itu.

"Ukhwah ni, pada suasana je ke? Bila geng kita menang, ukhwah kuat. Bila geng kita kalah, lemah, lantaklah engkau. Ni je ke nilaian ukhwah".

Kini, dia sedari perubahan itu. Ya, dunia ini berubah. Ikatan ini pasti diuji. Dia juga diuji. Kalau dulu, biliknya hampir dengan mereka. Sebelah-menyebelah. Seringkali dia diziarahi dan mudah baginya menziarahi kawan-kawan lain. Sapaan serta bertanya khabar ialah halwa telinga yang sering berdendangan, sekaligus mengeratkan rasa muhibbah. Keakraban terasa di pelusuk dada, menyenangkan hati menenangkan jiwa.

"Sem baru ni, aku pindah blok lain. Bukanlah jauh sangat pun. Berapa ramai yang sanggup ziarah. Datang, jumpa, jenguk aku. Aku sanggup, kerana ukhwah pergi ziarah diorang di blok asrama Y sana. Tapi diorang, berapa ramai yang sudi datang ke bilik aku kat blok X ni??". Luahan perasaannya tidak lagi tertahan. Gelora di dada kian membara. Kesedihan lantaran terasa dipinggirkan.

Dia sedar, ia sudah berubah. Iklim ukhwah nampak tidak lagi sama seperti dulu. Dia tertanya-tanya akan ketulusan ukhwah yang dipupuk selama ini. Jika benar ianya tulus, jarak dan tempat tidak mampu merobek harga ukhwah. Sinergi yang tercetus akan berterusan menyatukan manusia yang berkasih-sayang kerana Allah.

Dia termenung. Seorang diri. Di bilik itu, di asrama blok X. Pegun.

Mungkin, dia masih menunggu kunjungan kawan-kawannya yang dirindui. Sementara secebis 'percaya' masih berkerlipan, dia masih menunggu. Dan perlahan-lahan, 'percaya' itu semakin menjauh.