Saturday, September 18, 2010

Hayat yang dicintai

Hayat hanya sementara
seakan-akan dirasakan
mahu sahaja diakurkan bisikan syaitan
mahu sahaja..
berbuat apa sahaja
seakan-akan
masih ada 1000 tahun lagi

Sedarlah insan,

Hidup yang sementara ini,
akan sirna jua
dan hari-hari yang berlalu
akan tinggal kenangan
ketawa temanmu..
cinta kekasihmu..
serta seluruh hayat ini..
akan menyingsing perlahan

Lalu,
untuk apa dipersiakan masa
sedang esok belum pasti
bernyawakah diri?
untuk apa dilaksanakan maksiat?
sedang kau tahu
kelak
ia kan dikesali

Teman,
Jangan kau cintai dunia ini
kerana
tiap bunga akan layu
dan
setiap yang kau cintai
akan pasti pergi

Tegaskan ke hati
Wahai diri!
Cintailah Allah!
Cintailah Sunnah Rasulullah s.a.w.
Hanya sesungguhnya..
inilah cinta membawa ke syurga.

Usah persiakan rusuk kirimu



 Wahai pemilik asal rusuk kiri,

 Seharusnya kita menjadi pelindung. Seharusnya kitalah yang menggembirakan hati-hati yang halal bagi kita. Ketika nanti Allah s.w.t mempersoalkan mengenai amanah menjaga kaum wanita, apakah yang mungkin kita jawab nanti di mahkamah yang pupusnya hipokrasi sepenuhnya.

Kitalah pelindung kaum hawa,

 Langkah pertama adalah dengan mengikhlaskan niat seikhlas-ikhlasnya. Srmata-mata demi keredhaanNya. Batasi pergaulan dengan adab-adab Islam yang syumul walaupun kadangkala terasa berat di hati tetapi hakikatnya sungguh serasi dengan fitrah yang suci. Dalam masa yang sama, tahanlah tanganmu daripada menyentuh yang haram bagimu walau si dia amat kau sayangi. Renungkanlah, adakah kau sanggup menjadi asbab kepada terjerumusnya si dia ke lembah neraka yang tidak langsung mengenal ehsan? Tuluskan hatimu, lalu jawablah.

 Mengenai hati pula, urusannya sungguh halus. Sahutlah seruan jihad menumpaskan jajahan nafsu agar syahwatmu diikat dengan tali takwa serta digari dengan rantai keimanan. Apabila kau memandang wanita, maka pandanglah dengan rasa penuh tanggungjawab, penuh rasa ingin melindungi. Bukannya dengan igauan syahwat yang diharamkan.

 Pikullah amanah ini,

 Layanlah mahrammu serta yang halal bagimu dengan kemesraan berlandaskan Islam. Semoga mereka tidak merasa sunyi. Agar kaum hawa tidak mendambakan yang tidak halal bagi mereka. Isikan hati mereka dengan cintakan Allah dan ar-Rasul s.a.w. Semoga cinta yang tidak layak untuk mereka menjadi lelah dari mengerumuni mereka hasil daripada tembok malu yang terbina. Sesungguhnya, setiap yang lagha dan mungkar akan mudah sahaja membibitkan kefasiqan serta seterusnya menumbuhkan kecenderungan ke arah kemaksiatan

 Wahai yang 9 akalnya,

 Mereka adalah makhluk emosi, seringkali sensitif serta terasa pada perkara yang kita rasakan kecil tetapi tidak bagi mereka. Bersabarlah. Kagumilah sunnah nabi s.a.w . yang tidak pernah menyakiti tubuh isteri-isterinya. Malahan, nersifat penyayang, peka dan responsif dalam memahami tingkah laku mereka. Hanya dengan mengambil ikutan sunnah maka kemudiannya barulah mudah pentadbiran hidupmu bersama si dia.
Seringkali yang tersurat mengkaburkan yang tersirat. Kadangkala bahasa kaum hawa amat sukar difahami kerana kehalusan emosinya. Mohonlah kepada Allah agar dikurniakan ilham dan kefahaman.

 Kita adalah jantina yang dimuliakan Allah kerana tanggungjawab berat yang diamanahkan berbanding kaum hawa. Islam itu adil. Meletakkam sesuatu mengikut kesesuaiannya. Kitalah kaum yang yang diamanahkan kerja kenabian dan kitalah juga kaum yang ditakhtakan sebagai khalifah. Maka, selayaknyalah kita mampu mentadbir dunia dan manusia dengan aturan Allah yang Maha Mengetahui.

 Teguhkan iktikadmu!

 Andai hanya anda bersendirian dalam menggengam sunnah kebenaran. Maka teguhlah! Kerana janjiNya itu pasti. Sedang syurga kekal abadi dan bidadari-bidadari sedia menanti.

Friday, September 17, 2010

Semboyan sayembara STAM bersautan!


 Seakan-akan baru sahaja semalam saya mengisi borang nama di Maahad Johor. Segala-galanya berlalu begitu segera. Beginilah kehidupan dunia. Pelbagai peristiwa di sini akan kekal menjadi memori yang takkan terbayar harganya.

 Tepat pada tarikh 20.10.2010, tiada lagi dalih dalam mujahadah. Agenda menjadi 'Alim perlu dikuatkuasakan di dalam jiwa secara tegas. Seterusnya pelaksanaan usaha yang sebaik-baiknya perlu pula bersamanya sabar. Teori studi harus ditransformasikan menjafi ke arah yang lebih 'syadid'. Selepas ini, masa bersama rakan-rakan dalam bergurau-senda bakal menjadi singkat. Moga ukhwah sejati tetap tertegak di hati. 'Mesyuarat tingkap' akan berubah menjadi muzakarah ilmu manakala mana-mana ulat buku terpaksa redha andai kurangnya privasi kerana menjadi tumpuan penagih ilmu.

 Wahai barisan ilmuwan Islam!

 Teguhkanlah hatimu dalam perjuangan. Meskipun masa mencemburui, tiada apa yang mustahil andai ditaqdirkan asbab tadbir diri sebaik habis. Berjuang bukan kerana sijil yang sekadar kertas, tetapi diniatkan demi menyuluhkan cahaya al-Haq ke hati-hati manusia. Umat Islam memerlukan kita, lantas persiapkan dirimu sebaiknya!

Memoir teman

Ku akui ku tidak mampu
menggalas sendiri
beban dakwah ini

Terima kasih Tuhan,
kerna kau kurniakanku
teman-teman setia
yang memapahku
ketika aku kelelahan
yang memimpinku
ketika aku keliru
yang sudi menemani
ketika aku sendiri
yang tutur katanya
adalah mutiara sakti

Telah lelah kaki ini melangkah
telah kering titis air mata
ku mohon,
taqdirkanlah wahai Allah,
agar jihad ini,
dapat kami julang tinggi
kami tidak peduli
walau jasad ini dicarik-carik
walau kalbu ini dirobek-robek
demi berkibarnya
syiar islam sejagat.

Bertemu berpisah
hanya untuk Allah
saat jasad tidak lagi bertemu
moga hati-hati ini
tetap bersatu
dalam rabitah doa
kala
puncak munajat.

Rintihan terjawab

Mata hati melihat realiti
terbitnya mentari menyinari semesta
turunnya manik-manik hujan
menumbuhkan kelopak mawar
sungguh,
butirhujan itu
persis
si dia guru

Oh guruku,
Kami insan tiada sempurna
kadang kami keanak-anakan,
kadang kami terlena senyap,
kadang kami berlaku biadab,
kadang kata berlagak benci,
kadang kami tak kau senangi

guruku,
kalau tanpa petah katamu
tiadalah mentari di dalam hati
kalau terhenti tutur katamu
mungkinkah kami miliki ilmu?

guruku,
luahan hati merayu sayu
terimalah kami anak muridmu,
kami rindukan
hangat tuturmu
manis senyummu

guruku,
bukan niat kami meluka hatimu
bukan hasrat kami menahan senyummu
sungguh kami akui
engkau tak bersalah
kami yang buta
hati ini yang mati

Sungguh kami hanya ingin
melihat
kau tersenyum
lantaran kejayaan kami
hasil
titis-titis pengorbananmu
guru..

Hijab bicara dusta

 
Seorang muslimah tidak seharusnya mudah rebah pada pujuk rayu juga tipu daya seorang lelaki setelah segala tarbiyyah Islamiyyah dipasakkan secara sempurna. Maruah seorang muslimah tidak mudah dijualbeli. Sekali ia musnah, maka fitnah akan memangkah umat. Berikut adalah dalil-dalil aqli bagi menghadapi lenturnya lidah si pendusta.


(1) "Kalau awak sayang saya, awak mesti tidur dengan saya."


=Menyayangi seseorang tidak bermaksud memusnahkan diri sendiri. Setelah diserahkan segala-galanya, pastikah dia milik kita? Banyak lagi pembuktian cinta yang boleh dibuat. Usah dicampur-adukkan nafsusarakah dan cinta yang kononnya suci dalam satu relung hati.


(2)"Apa bukti awak sayang saya?"


=Adakah wajar suatu perbuatan yang keji boleh menjadi bukti hakikat cinta yang suci. Andai benar hati yang dicintai, perlukah musnah sebuah maruah?


(3)"Kalau awak tak nak buat apa yang saya nak, kita clash je la!"


=Cinta mengajar kejujuran dan kesabaran. Hanya ketika nafsu menjajah hati, kesucian niat dinodai. Yakinilah sesungguhnya terputus hubungan dengan manusia jauh lebih baik daripada terputus hubungan dengan Allah. Dialah Pencipta cinta, Penentu taqdir dan Pentadbir hati. Andai benar lelaki itu benar untuk anda, memang tercatit di luh mahfuz untuk anda, maka pasti tuhan akan menemukan anda dan si dia dalam kemuliaan maruah.


(4)"Awak ni kolot. Takkan nak pegang-pegang tangan sikit tak boleh?? Awak tak sayang saya ke?"

=Kolatkah beramal dengan suatu aturan yang diatur oleh Pengatur yang telah mentadbir seluruh alam maya dan Dialah yang mengetahui dengan sebenarnya lubuk isi hati insan. Andai manusia tidak berkehendak menurutinya, maka manusialah yang kolot pemikiran kerana tak terdaya mengerti suruhan ilahi lantaran fitrah dikotori nafsu lantas mengelabui penglihatan hati.


(5)"Ala, tak pe la, kita kan akan kahwin jugak nanti, takpe la sikit-sikit."


=Jangan berkata seperti kita penentu taqdir. Telah tertulis di luh mahfuz sepotong nama sedang nama sedang manusia tidak mengetahuinya. Apa ertinya, dikorbankan maruah diri demi sesuatu yang tidak pasti.


(6)"Ala, awak jangan risau la, saya pasti akan bagi awak kebahagiaan punya"


=Andai anda mempercayai perkataan ini, terbuktilah bahawa kebesaran dunia telah bermuqim di kerajaan hati. Benarkah makhluk yang memneri kebahagiaan? Percayakah anda bahawa makhluklah yang mentadbir hati? Lupakah kita bahawa Allah s.w.t yang memberi manfaat dan Allah s.w.t juga yang memberi mudharat. Hakikat sebuah makrifat, makhluk langsung tiada kuasa. Maka, logikkah cinta yang ditadbir dan dicipta oleh Allah yang bersifat Khalik (menjadikan) dapat benar-benar bahagia dalam menuruti nafsu sang makhluk yang tidak punya apa-apa. Jujurlah dengan diri sendiri.


(7)"Kalau betul awak sayang saya, awak kena serahkan segala-galanya pada saya"


=Lupakah kita bahawa hidup dan mati untuk siapa? Usah besarkan cinta insan lebih daripada cinta tuhan. Insan tidak punya apa-apa. Serahkanlah segala-galanya kepada Allah. Fahamilah hati-hati yang mengingati yang Maha Satu akan mudah bersatu.


-KHATIMAH HIJAB-


 Telah jelas hukum couple melalui ijtihad para mujtahid (ustaz&ustazah) yang thiqah. Terpulanglah kepada fatwa hati dalam membentuk keputusan terbaik. Berdoa dan berserahlah kepada Allah. Amalkanlah bersolat Istikharah agar hidup lebih terarah.

Amanah pesonanya wajah


Hayati sekilas bait ini;


"Indahnya wajah, bukan demi dosa.
Bukan juga untuk meremuk hati insan.
Tapi, untuk sujud pada tuhan."

 Seringkali berlaku, manusia yang dikurniakan nikmat hensem/cantik acapkali alpa lantaran mudahnya mendapatkan cinta insan. Bertukar-tukar pasangan, mempermain-mainkan perasaan insan lalu lalai dalam hanyutan cinta yang akan fana juga.

 Insafilah insan, bahawa nikmat yang diberi Allah akan dihitungkira kelak. Baik atau buruknya, pahala atau dosa lalu syurga atau neraka. Wajah yang indah adalah nikmat yang patut disyukuri, bukan dikufuri. Apa yang mampu dijawab di hadapan mahkamah Allah nanti jikalau keindahan wajah digunakan bagi merosakkan ketenteraman hati manusia lain.

 Meskipun, godaan perasaan kasih sayang yang kadangkala manis terasa walau ia tenggelam dalam kekaburan noda telah menerjah relung hati, akal yang berpaksi pada iman tidak harus mati. Bukankah kita boleh menyaksikan melalui mata hati, mana satukah cinta yang harus dipandang tinggi. Mana yang lebih penting, perasaan manusia biasa ataupun perasaan Allah taala?

 Lihatlah kisah nabi Yusuf a.s, Abu Bakar al-Misk dan lelaki penjual kipas bulu yang tidak menyalahgunakan nikmat pesonanya wajah malah mampu menepis himpitan nafsu yang bukan sembarangan hebatnya.

 Cinta itu dari ilahi, lantas secara logiknya bagaimanakah mungkin para penjenayah cinta iaitu pelaku maksiat berkemungkinan memperoleh nikmat sebenar cinta sejati? Sucikan cinta kita dengan tariqat taubat, wangikan ia dengan malu dan cantikkan ia dengan ikhlas.

InsyaAllah, cinta itu akan suci..

Sang Penghidap Cinta

Cinta,
Andai penghidapnya adalah 'Abid
maka makin menghampirkan kepada Dia
Andai,
penghidapnya adalah Da'i
maka tutur tarbiyyahlah dilentur lidah
Andai,
penghidapnya adalah 'Alim
maka ilmunya semakin melaut
Andai,
penghidapnya adalah Mujahid
maka pacuannya ke syurga kian deras

Akan tetapi,

Jika sang Fasiq dihidap cinta,
awasilah segera!
bisa jadi maksiat
bisa jadi jauhnya taubat

Cinta,
ia mengajar kejujuran
bukan penipuan,
mengajar pengorbanan
bukannya paksaan,
ia seringkali memberi
tidak pernah meminta

Bagaimana kita melihat cinta
sayugia,
begitulah juga ia kan hadir..

Go to fullsize image

Khidmat masyarakat di Maqam Mahmudiah


(catitan di Maahad Johor pada 10-8-2010)

 Mungkin kerana meraikan hadirnya bulan ramadhan, warga Maahad Johor telah dialu-alukan bagi menyertai program membersihkan pusara-pusara di maqam mahmudiyah yang tidak jauh lokasinya dari tapak asrama saya.

 Sepanjang di sana saya berasa bertuah kerana dapat menginsafkan hati ini yang kadangkala lalai lalu melupakan wujudnya kematian yang sifatnya pasti. Saya lebih memilih bagi membersihkan pusara yang kelihatan terbiar dan kurang berhias lantaran ia lebih menghadirkan kesedaran bahawa inilah 'rumah buruk' yang akan saya diami nanti. Tiada siapa yang akan menemani malahan dipenuhi pula dengan ulat dan cacing serta ditumbuhi duri dan semak samun. Ada antaranya yang lama terbiar sehinggakan batu nesannya pun sudah tidak terpacak utuh lagi.

 Mungkin bagi menambahkan lagi keinsafan, Allah telah mentaqdirkan adanya majlis pengebumian pada hari tersebut. Saya dan sahabat-sahabat lainnya turut sama membantu memasukkan jenazah ke liang lahad. Kemudian, bacaan talkin yang sebenarnya ditujukan kepada orang yang masih hidup, ternyata seolah-olah membuatkan saya merasakan bahawa sayalah yang melalui alam kematian. Kadangkala terdetik di hati, mampukah saya menghadapi soalan munkar dan nakir? Terjaminkah iman saya nanti? Suasana sepi serta sayu memenuhi hati. menginsafkan...

 Cuma yang dikesalkan. Ada antara sukarelawan wanita yang waaupun berpakain menutup kulit, tetapi bersifat melekap dan sempit. bukankah hijab wanita hakikatnya bercirikan menutup aurat di samping menutup pintu syahwat? Jikalau begini, kaum adam pula akan sekadar sibuk membersihkan kuburan tetapi mengelabui pula kesedaran bahawa di sinilah bakal destinasi persinggahan yang pasti...

Cintailah cinta kerana Allah

Cintailah cinta kerana Allah
tak perlu berbalas sentuhan
andai sudah berbalas doa
tak perlu bertaut maksiat
andai sudah bertaut takwa
jika hati yang dicintai
perlukah musnah sebuah maruah
benarkah zina tanda cinta?
atau ia fatamorgana
bahagiakah hati dalam kemungkaran
bahagiakah hati dalam syubhah
cinta ini dari Allah
tanya hatimu..
di mana letaknya Dia?

Wednesday, September 15, 2010

Ramadhan yang dirindui, I miss you..


Tirai Ramadhan telah menyingsing pergi..

 Pada perspektif saya, ramadhan pada tahun ini adalah yang paling bererti. Bukan kerana hidangan makanan enak yang kerap memenuhi meja hingga kadangkala tidak habis dimakan, tetapi kerana makanan rohani yang dirasai kelazatannya sungguh amat mengasyikkan.

 Tahun 2010 adalah tahun tarbiyyah. Hanya pada tahun ini saya benar-benar merasai nikmaynya tarbiyyah daripada para murabbi serta agungnya usaha dakwah serta usaha atas iman dan amal. Pengisian jiwa daripada ketiga-tiga agen hidayah iaitu jemaah tabligh, halaqah daripada UTM dan tariqat Naqsyabandiah al-`Aliyyah amat mendekatkan fitrah diri ini kepada kehadiran rasa dekatnya Allah di dalam jiwa.

 Apa yang amat saya harapkan, moga para followers sentiasa mendoakan diri ini berterusan mendapat ihsan hidayah dan taufiq ke arah keabadian hakiki iatu keredhaan Ilahi. Ya Allah! Kurniakanlah ihsanMu kepadaku serta amkanlah hidayat ke seluruh alam ya Allah.

 Amiin.

Nak buka tudung? bukalah..



 Hati ini panas setiap hari ketika terpaksa dikotori oleh pandangan yang dihidangkan tanpa diinginkan. Semakin ramai perempuan yang berpakaian tetapi sukar diklasifikasikan sebagai benar-benar berpakain.

 Kadangkala saya merasa kehairanan melihat tingkah laku perempuan-perempuan hari ini yang tidak selayaknya disarungkan di tubuh. Mungkin bukan satu isu bagi golongan yang mempertuhankan syahwat dan liberalisme, tetapi bagi saya yang meyakini kesahihan islamisme, hak asasi Allah bagi ditaati telah tercabar.

 Bersyukurlah bagi para solehah yang telah ditarbiyyah dengan rapi serta diselesakan dengan busana muslimah yang diredhai Allah. Moga kalian bisa istiqamah. Tetapi apabila sang solehah ini keluar daripada lingkungan tarbiyyah Islamiyyah, menuju kealam IPTA/IPTS atau ke alam pekerjaan, jati dirinya mula teruji. Apa yang dianggap sebagai kebanggan awalnya mungkin dianggap kolot, tak up to date, macam mak orang, jumud dan macam-macam lago tohmahan aneh dari hati yang dikelabui duniawi. Manakala fesyen yang dahulunya dilihat menjengkelkan mula dirasakan menarik dan `market` habis.

 Jika seorang solehah berubah prinsipnya adalah bagi mendapatkan perhatian kaum lelaki, maka seharusnya mata hati menyedari lelaki yang bagaimana pendirian personalitinya akan tertarik. Jujurlah.


 Fesyen seorang muslimah sejati telah diwahyukan oleh Allah kepada seorang lelaki yang pertama dalam zamannya yang memuliakan kaum perempuan semasa insan lain sentiasa menghinakan, lelaki yang paling mendahulukan kaum perempuan pada tempatnya, lelaki yang paling baik dalam melayani kaum perempuan serta yang paling memahami psikologi, keinginan dan kata hati kaum Hawa. Dialah Rasulullah s.a.w, lelaki yang paling pelindung anda.


 Saya merasa terkilan apabila perempuan-perempuan hari ini lebih rela menuruti fesyen-fesyen yang direkabentuk oleh lelaki-lelaki fasiq. Sedarilah bahawa inilah konspirasi kuffar dalam menghapuskan malu kaum muslimah, memusnahkan identiti,ideologi serta kehormatan kaum muslimah seluruhnya. Propaganda yahudi dan kristian telah menusuk ke atmosfera mentaliti kita. Berjaga-jaga!


 Kecantikan hakiki adalah kecantikan dalaman. Orang kafir sememangnya tidak memahaminya. Lihatlah; Britney Spears, Paris Hilton dan ramai lagi awek-awek cun barat yang terumbang-ambing dalam mencari erti kecantikan hakiki. Kecantikan luaran diagung-agungkan, namun kecantikan dalaman tidak ditinggikan. HIPOKRIT..


 Alangkah sedihnya kaum muslimah andai memilih gaya hidup orang kafir setelah Allah menunjukkan gaya hidup yang bakal membawa ke syurga yang sarat cinta sejati. Cinta Ilahi.


 Khatimahnya, saya menyeru kepada para solehah agar genggamlah kehormatan yang diamanatkan bagai menggenggam bara api. Pada awalnya terasa panas sekali, tetapi, apabila panasnya padam lantaran teguh menggenggamya, maka moga syurgalah yang digenggam.


 Apabila ada orang mengatakan:
"ala, poyo la kau ni, macam bagus jer"
"takpe, biar luar pakai biasa-biasa, asal hati baik"
Wahai muslimah, berwaspadalah, mungkin inilah bicara orang munafiq..orang yang hipokrit dengan tuhannya.


Renungilah;
Akal melihat wanita cantik kerana kebijaksanaan,
Mata melihat wanita cantik kerana kejelitaan
manakala
hati dan iman
melihat wanita cantik kerana ketakwaan.

HasbiAllah
Cukuplah Allah bagiku.

Tuesday, September 14, 2010

Ku sahut seruan

Aku ingin menjadi `Abid
yang sarat cinta pada pencipta
yang tiap hela nafasnya
menghirup rindu tuhannya
yang hatinya hanya
berpaut pada Dia

Namun,
baru ku sedari
umat islam memanggilku pulang,
mahu aku jadi panglima
mahu aku jadi penyeru
lalu terpaksa
aku tinggalkan mehrab sujudku
lantas ku sarung
perisai perang
lantas ku tempuh medan dakwah

maafkan aku wahai Allah
kerna lemah kudratku
pendek usiaku
sedikitnya `amalku
kerna aku bukan maksum
sungguh
dosaku setinggi gunung
sedang `amalku sekadar debu
bisa hilang diterbang angin

Maka,

harus ku redhai,
tiada kerehatan bagi seorang Mujahid
melainkan
syurga dan syahid.

sajak; ~BICARA ABADI~

sajak; ~BICARA ABADI~

Halusinasi duniawi
menghapus hadirnya hati
menghijab aroma abadi
Tanpa sandiwara, diri mencari abadi
kala akur rukuk..tika sayup sujud
mungkinkah kelak kutemui,
indahnya abadi hakiki

susurilah derap langkah utusan Allah
agar rasa cinta ini
bersemi selamanya
cinta hati kami, Rasulullah S.A.W,
bagindalah pancaran tiada padam
bagindalah, sinaran tiada sirna
meski nadinya telah berhenti,
namun, hasrat perjuanggannya tetap kami sanjung tinggi!
kamilah, anak-anak penakluk Andalusia!
kamilah, batu-batu di jalanan al-Aqsa!
biar bercerai hati dan nyawa
biar huhur darah syuhada
bulan bintang menjadi saksi
sumpah kami pada ilahi!
bangkitkan hati semangat juang
agar syafaat tidak terbuang

wahai teman-teman,
siapakah pembebas bumi palestin?
siapakah pemenggal kuffar hipokrit?
wahai teman-teman,
adakah kalian tahu?
kalianlah tariq bin ziad!
kalianlah salehuddin al-ayubi!
kalianlah sultan al-fateh!
kalianlah hassan al-banna!
wahai teman-teman,
usah dipersia ilmu mulia
hakikat martabat wujud padanya
balaungkan kobaran takbir penggegar
moga terpancar sinaran islam
TAKBIR!!

Dugaan hidup; Interprasi pengurniaan darjat


Dugaan hidup; Interprasi pengurniaan darjat



>>Artikel tazkirah bersalut tazkiah ini adalah hasil pengamatanku yang kerdil ini. Aku bersyukur kepada ilahi yang mengilhamkan segala pengetahuan alam.<<

Kehidupan mematangkan kita. Ranjau dunia yang perit serta memori indah yang tersulam merupakan suatu momentum dari ilahi bagi membersihkan insan daripada segala kelemahan diri. Setiap perkara yang terjadi, bersamanya ada hikmah yang tersembunyi. Hukamak ada berkata, semakin lambat seseorang insan itu redha atas taqdir yang terjadi, maka semakin lambatlah matahati dapat menyingkap hikmah yang tersirat.

Ahli sufi ada berbicara, semakin tinggi maqam (darjat) seseorang insan menurut tuhannya, justeru semakin tinggilah dugaan hidup yang ditempuhnya.

Tatkala kita diuji dengan berbagai-bagai onak cabaran yang memeritkan, ingatlah bahawa Allah itu ada. Dia menguji kita supaya dapat memastikan adakah kita seorang hamba yang penyabar serta redha, atau sebaliknya.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat..."(SURAH AL-BAQARAH, 2:186)

"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun" (SURAH AL-MULK, 67:2)

Kadangkala rencah musibah yang menggoncangkan jiwa bagai dirasa sekadar sia-sia. Namun begitu, ingatlah teman bahawa seorang muslim tidak akan merasa rugi lantaran janji-janji yang telah terpateri.

"Dari Abu Said al-Khudri radh. dan Abu Hurairah radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda; Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan,sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekalipun melainkan diampuni akan dosa-dosanya." (HR BUKHARI)

Persis seorang pelajar cemerlang yang gigih menahan segala dugaan demi manggapai segulung kejayaan, begitu juga kehidupan sebagai pertempuran antara nafsu dan iman. Kesukaran yang melanda mengkehendaki dominasi iman yang optimum lantas ligat merencana formasi kesabaran demi manggapai kemuliaan khalifah di muka bumi Allah.

Allah yang Maha Bijaksana sengaja menyembunyikan khazanah kemuliaan amalan iman dari mata kasar insan agar hanya barisan yang menyemat komitmen yang jitu layak diuji bagi melayakkan pengurniaan darjat yang lebih tinggi diberi.

"Dari Abu Hurairah radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W bersabda: sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan ketinggian darjat seseorang itu pada satu tahap melalui amalannya. Namun melalui amalannya itu, dia gagal mencapai darjat tersebut. Lalu Allah menguji 9dengan berbagai penderitaan, kesakitan atau kesusahan) sehinggalah dia sampai ke darjat tersebut." (HADIS NABI)

Solusi kerungsingan yang dirasai sebenarnya bermula dari dalam diri. Ibarat dalam huru-hara kancah peperangan, laskar yang tidak berfikiran tenang akan sukar merangka strategi serangan balas malah tindak-tanduknya akan terburu-buru lalu kemungkinan maut baginya malahan hampir. Redha dan sabar merupakan aset seorang muslim tatkala mengharungi pancaroba duniawi.

"Dari Anas radh. meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda; Sesungguhnya besarnya pahala adalah bergantung dengan besarnya ujian atau penderitaan. Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum. Dia akan menguji mereka (dengan penderitaan). Oleh sebab itu, barangsiapa yang redhai ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah juga tidak meredhainya" (HR TARMIZI)

"Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan janganlah (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang beriman." (SURAH ALI-IMRAN :139)

"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar." (SURAH AL-BAQARAH :152-153)

"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya, dan menghapuskan kesusahan." (SURAH AL-NAML :62)

"(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata; "sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjik hidayatNya." (SURAH AL-BAQARAH: 156-157)

Dugaan adalah peringatan. Saat mentaliti leka dek hempasan halusinasi duniawi, dugaan adalah ayat-ayat Tuhan yang mengingatkan hakikat kehidupan duniawi adalah demi ukhrawi. Musibah selaku pengikis dosa menyucikan insan daripada khilaf agar ia termaaf.

Usah risau andai tandusnya nikmat, tetapi risaulah jika hidup seakan-akan istidraj. Semoga perkongsian yang sedikit ini adalah saham akhiratku yang kekal. wassalam.

~~"Aku memohon hari yang panas sempurna, agar aku bisa menikmati kenikmatan alam buana. Namun Dia menurunkan petir yang bising..merenggut harapanku. Dia mentaqdirkan gerimis, kemudian hujan yang lebat lagi dingin. Aku hampa kecewa. ujarku,"Tuhan tidak adil!..memberiku yang ku tidak mahu." Aku terus bermurun. Kedinginan kian suam, gerimis kian menghilang. kornia mataku menyaksiakan transformasi semesta. Aku terpana. Rupa-rupanya Dia ingin mengurniakan ku pelangi yang mempesona. Sungguh menakjubkan ciptaanNya. Ujian adalah manifestasi pelangi yang menjadi ayat-ayat cintaNya."~~

Calon MUET Band 10!

Calon MUET Band 10!



(inspired from a true story)

Setelah selesai sesi penghuraian isi secara persendirian, sesi secara berkumpulan pun bermula.

Examiner: you may start now!

-SKETSA 1-

Candidate A: Okey guys, what's your opinion on how to protect our nation from crimes?

Candidate C: Ermm, one Malaysia!
(lepas tu semua dah blur..apa plak kena mengena dengan One Malaysia???)

-SKETSA 2-

Candidate A: May you tell us abot how does your school against crimes? such as
bullies?...

Candidate B: My school never had crimes, all of us were a good one.

Candidate C: Yes, my cshool..never had bullies

(poyo sehh)

-SKETSA 3-

Candidate C: Hey, had you ever tried to smoke?
Candidate D: No, I had never tried to smoke.
Candidate B: Wow, you are a good boy.
Candidate C: Hey, you must try to smoke, its good you know.

(Hadoi...apsal suruh budak tu merokok plak?? ingat borak kat warung ke??)

Solat Dhuha; persis teh ais di tengah hari

 

Saya masih ingat lagi masa sekolah dulu-dulu, saya bersama member-member biasanya akan ikhtiar untuk istiqamah tunaikan solat dhuha kat surau sekolah. Kitorang amik masa lebih kurang 10 monit kat surau sebaik sahaja selepas melantak kat kantin yang amik masa lebih kurang 10 minit jugak

Apa yang bestnyer?

Ok, lepas penat mendengar segala ilmu yang kadang masuk, kadang jadi mengantuk, kitorang akan cuba refresh otak untuk mengembalikan tumpuan. Kat sini la peranan solat dhuha. Damainya nur ilahi menghapus segala walang di hati, bagaikan sakti.

Cuba la...

Persis teh ais di tengahhari, macam tu la yang cuba saya gambarkan. Lazimya, pasca solat dhuha, kitorang akan akan lebih fokus dalam menyerap ilmu-ilmu yang diterap para guru.

Banyak fadhilat yang kita dapat:

"Dari Abu Zar radh. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W beersabda: setiap pagi sedekah mesti dibayar oleh setiap orang sebagai bersyukur kerana kesihatan dari setiap sendi-sendi di tubuhnya. Setiap ucapan subhanallah adalah sedekah, dan setiap ucapan lailahaillallah adalah sedekah, setiap ucapan allahuakbar adalah sedekah, mengajak kepada makruf adalah sedekah mencegah dari yang mungkar adalah sedekah, dan mengerjakan du rakaat dhuha adalah mencukupi sebagai kesyukuran atas setiap persendian badan." (HR MUSLIM)

"Dari Abu Hurairah radh. meriwayatkan Rasulullah bersabda: barangsiapa istiqamah mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha, dosa-dosanya dihapuskan walaupun sebanyak buih di lautan." (HR IBNU MAJAH)

"Dari Abu Darda' radh. meriwatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda; barangsiapa mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha, tidak akan dicatat di kalangan hamba-hamba Allah yang lalai dan barangsiapa mengerjakan empat rakaat akan dicatat diantara hamba-hamba Allah yang ahli ibadah dan barangsiapa mengerjakan enam rakaat, maka keperluannya pada hari itu akan dicukupi dan barangsiapa mengerjakan lapan rakaat maka akan dicatat di antara orang yang taat dan barangsiapa mengerjakan 12 rakaat Allah membangunkan sebuah istana baginya dalam syurga. Tidaklah berlalu suatu hari dan suatu malam, yang mana Allah tidak mengurniakan sedekah atas kebajikan atas hamba-hambaNya. Dan kebajikan paling besar dari Allah ke atas hamba-hambaNya adalah memberi kesempatan kepada mereka untuk berzikir." (HR TABRANI, MAJMAA UZ ZAWAID)

Masjid/surau @ Rumah orang tua-tua

 

Pada zaman Rasulullah S.A.W, masjid merupakan tempat berkumpulnya semua lapisan usia. Baik yang muda, remaja mahupun kanak-kanak telah menjadikannya sebagai 'rumah kedua' yang sering dikunjunga saban hari. Saat penuhnya masjid dengan jemaah, ketika itulah sinar islam terserlah.

Waktu beredar dan abad berubah. Kini, masjid dibanggakan dengan dekorasi yang autentik namun malangnya ketandusan pemuda-pemuda yang hatinya terpaut pada masjid. istighfarlah.

Antara alasan diorang:

"Muda hanya sekali, so..kita enjoy!!"

"Aku muda lagi, nanti tua-tua aku tobat lerr..."

"Watpe penat-penat pegi masjid, sembahyang kat umah kan bleh gak.."

"Pakcik-pakcik tu kan ada, biar diorang je la yang pergi"

Saya kadangkala rasa sedih apabila masa solat maghrib dan isyak kat surau, budak-budak muda kurang yang minat nak datang. Ramai pakcik-pakcik jerr. Kalau ada pun biasanya anak-anak jemaah jugak.

So, saya fikir kalau sekarang ni, generasi kita tiada fikir nak memakmurkan rumah Allah, banyak memakmurkan rumah-rumah syaitan (disko, pub dan seangkatan dengannya), tak mustahil satu hari nanti, masjid dan surau akan sunyi dari jemaah.

Ramai yang cari "KETENANGAN" dengan join macam-macam xtvt, macam main bola, jogging, hiking, skuba, berkayak dan berbagai-bagai lagi. Tak salah, tapi janganlah pula dilupakan asbab ketenangan yang utama; MENGINGATI ALLAH @ ZIKRULLAH, atau lebih mudah dengan berkunjung ke masjid.

Tak salah untuk pergi ke air tejun, camping camp atau ke pantai bagi menenangkan jiwa, tapi betapa ruginya berhabis wang jika destinasi ketenangan itu hanya beberapa langkah sahaja dari rumah.

Aku harap dialog-dialog negatif akan berubah kelak kepada:

"Muda kan dua kali, sekali lagi kat syurga, kat sana nanti aku enjoy giler-giler!!!"

"Tak rugi pegi masjid, hati tenang..pahala pun banyak der"

"Tak boleh tangguh-tangguh lagi, tak semestinya aku sempat tua..maybe esok lusa aku mati ke..."

"Kalau pakcik-pakcik yang dah tua tu pun mampu pegi, malu la kalau aku yang masih banyak tenaga tak pegi".

Personafikasi Penjara Yusuf

ya tuhanku,
penjarakan hatiku di penjara yusuf
selamatkan kalbuku
dari tipuan dunia
kerna ku tahu
hakikatnya sementara
sabarkan aku sesabar yusuf
tabahkan aku setabah yaakub
wahai yang Maha mendengar
lebih ku rela hati terasing
dari hidup bahagia
namun bukan redhaMU

terimalah harapku ini
amiin...

Monolog gua hiraq

Tirai bibuka bersama
lafaz Bismillahirrahmanirrahim

 

Alhamdulillah, lantaran ilhaman Allah dalam mendetikkan hati saya bagi membuka sebuah tirai blog.Moga tiap tulisan yang tersemat dapat difahami lalu dihayati sebaiknya. Segala yang baik hakikatnya datang dari Allah di samping yang buruk juga tetapi adalah asbab kekhilafan diri ini. Moga termaaf segala khilaf.

Ya Allah,

  Jadikanlah nukilanku ini sebagai gelombang tarbiyyah yang berupaya meresap ke dasar kalbu para mujahiddeen.
  Hadirkanlah hati-hati insan dalam memahaminya secara telus lagi jujur
Kuakui ketidaksempurnaanku..maka perbaikilah aku.
  Kerna,
aku ingin sekali berjuang di medan syuhadamu
 moga,
tarian jemari bisa menjadi kiffarah pengganti.

~AMIIN YA RABBAL `ALAMIN~