Monday, May 28, 2012

Ibrah belon yang pecah.



Harapan Naqib-naqib
"Tangkap belon baik-baik!" jerit seorang akhi kepada kami.

Haha..dah lama rasanya saya tak bersukaneka. Seperti kembali ke alam kanak-kanak. Saya & Nuqaba' yang lain bermain lambung dan sambut belon dengan penuh kegirangan di padang. Percikan air tepat membasahi muka saya apabila sebiji belon yang diisikan air pecah ke tanah. Terpaksa diakui kegiatan sukan bukanlah kepaka...ran saya, nak mengagak belon bagi disambut memerlukan skil spatial yang tajam. Huhu..insyaAllah, saya akan cuba lebih turun ke padang selepas ini..

Beberapa biji belon pecah lalu bersepah di padang itu. Dek kerana terlalu excited bermain, kami terlupa mengutipnya kembali..

Tempoh 1 jam bermahabbah dalam riadhah terasa begitu singkat bagi saya, kemudian..abang Hasnan (KD Induksi Nuqaba') mengarahkan kami berkumpul untuk sesi ibrah. Dengan badan yang basah kuyup dan keriangan yang sedang di kemuncak, kami berkumpul sama-sama demi sebuah tarbiyah.

"Ana mahukan di antara kamu menjelaskan pengajaran di sebalik permainan ni", pinta fasilitator kami.

Seorang kawan saya bangun.
"Ana bawakan analogi belon seperti hati. Bila kita sambut belon tu dari kawan kita, ia akan bergerak-gerak hingga menyukarkan kita untuk menangkapnya. Begitulah juga hati anak usrah kita nanti. Skil diperlukan untuk menambat hati mereka. Tambahan pula, sifat hati kan berbolak-balik"

Abang Hasnan tersenyum.
Kemudian, dengan cermat dia mengambil sebiji belon. Tanpa disangka-sangka, belon itu dicampak dan jatuh ke tanah lalu pecah. getah belon yang telah pecah tersebut berceraian.

"Ada tak di antara kamu yang mengutip balik belon yang pecah ni! Baiklah, anggap belon ini adalah anak usrah kamu. Nanti, apabila ada antara anak usrah kamu yg menjauhkan diri, yang lemah..adakah kamu akan membiarkan dia?!"

Kami rasa terpukul..

"Dalam permainan tadi. Kamu dikehendaki membaling belon kepada rakan kamu dalam jarak yang dekat. Selepas itu, jarak akan semakin bertambah. Semakin luas jarak antara kamu dan rakan, semakin susah untuk belon itu disambut dengan baik. Kesannya, banyak belon yang pecah. Begitu juga dalam usrah. Pada awal usrah, memang kamu bersemangat. Tiada masalah untuk berjumpa dengan anak usrah kamu. Tetapi, apabila kamu sudah lama tidak mengadakan liqa', anak usrah kamu akan menjauh. Ketika ia jauh, percayalah kamu sendiri pun akan rasa malu nak berjumpa mereka!"

saya termenung..bagaima pula saya kelak..

Seorang Akhi yang di sebelah Abang Hasnan lalu menghampiri kami dan melafazkan nasihat.
"Ana tak nak kamu ulangi kesilapan ana. Sehinggakan anak usrah ana jumpa dan cakap kat ana: 'bukan ke abang yang angkat ikrar untuk menerima amanah naqib ni. Abang lakukan ni kerana paksa atau sukarela??', masa tu ana sendiri rasa malu nak berjumpa mereka.."

"Kita dah belajar banyak skil dan teknik dalam Induksi Nuqaba' ni. Jangan sampai kita mengulangi kesilapan yang sama berulangkali."
Nasihat rakan saya Syabil, terngiang-ngiang di telinga.
 


 Subhanallah..Ibrah dari slot riadhah kali ni amat menusuk ke hati saya. Ya Allah, mudah-mudahan amanah sebagai Naqib ini dapat saya sempurnakan sebaiknya. La hawla wala quwwata illa billah..

Pesan Syeikhul Azhar

"Apabila di Darul Quran, kamu tiada kereta, tiada internet, tiada facebook, tiada keluarga, tiada saudara mara & di sini tiada isteri"

"Tetapi ingat yang paling penting! Di sini kamu ada al-Quran! dan Quran adalah segala-galanya.."

[Dr. Khalifah, Syeikhul Azhar-Pensyarah Bahasa Arab syukbah saya]

Sajak; Berbisik badai

 
 
Wanita
seindah namamu
elegen, feminin, pesona,
... goyah hati
bertempur rautmu

Duhai mata
bersabarlah seketika
hatta yang halal hadir
Usah sampai panahmu
hijab memandangNya.

Duhai hati
teguhkan soleh sejati
pautkan kasih padaNya
bertaut nanti tiap cinta
ikhlaskan semua.

Duhai Cinta & Rindu
janganlah datangmu
meluru gelojoh
sabarlah sedikit
detik kan tiba
nanti si dia
untukmu saja.

Saturday, May 19, 2012

Rintih tak berabjad

Kecamuk kalbu
abstrak tersembunyi
butir jeritnya
takbisa dilukiskan kata-kata

Kadang-kadang
sebaris doa sekalipun
tak terlafaz
terkunci hati dari ilahi
perit tak terluahkan

Duhai zikrullah,
sebutlah Allahu Allah..
laksana mawar mengharum aroma
sesegar embun penawar kemarau
lepaskan hatimu!
jangan ditahan-tahan lagi!
roh itu rindukan tuhannya!
rindu pada firman
haus hakikat cinta
temukan ia kepadaNya
bermadah kasih di suram malam
girang hati mengucap syahadah
berdegup kencang helaan rintih
luahan tanpa selindung
di sebalik nafas hamba
tenggelam dalam zikir
Allahu..Allah..


Tuesday, May 15, 2012

Sajak; Yang di sana



Cinta kita bertandang
kala terang bintang
doa tanpa bayangan
ku kirim salam sayang
kejauhan tanpa warkah

Letih hasrat kadangkala
terkhayalkan bisik gelap
terjatuh jauh dariNya
namun mana mungkin bertahan
derita Salik ternoda zulumat

Bangun ku kembali
menunggu hadirmu
sesal lepas jadi iktibar
moga mampuku
Imam bagi tahajudmu
Ustaz bagi zuriatmu
Teman bagi hatimu

Hari yang berlalu
umur berganti deras
menunggumu setia
wahai
Sayap kiriku.

Monday, May 14, 2012

Dakwah berwadah Zikrullah



Dakwah menuntun roh manusia. Tanpa tautan hati kepada mad'u (sasaran dakwah), nasihat & kuliah hanyalah memenuhi koleksi informasi tanpa memanifestasikan sahsiah

Entiti pendakwah, boleh diibaratkan bagaikan sebiji mentol. andainya malap, lemah ataupun rosak, takkan bermanfaat hatta semahal manapun harganya atau segah apapun jenamanya. Cuma mentol yang tidak rosak dan menyala terang dapat dimanfaatkan manusia. Tetapi, tidak cukup setakat itu. Jika tidak bersambungan dengan wayar, tetap juga tidak bermanfaat.

Analogi yang ingin saya bawa, mudah. Mentol adalah Pendakwah. Wayar adalah Zikrullah manakala hidayah sebagai Sumber Janakuasa yang bersumberkan Allah SWT.

Menyentuh insan, tidak cukup dari luaran. Hati adalah sotware dalaman, virus yang menyerang pula bersifat halus. Sudah tentu wabak penyakit hati rosak di zaman kita kini tidak cukup disembuhkan dengan unsur-unsur materealistik.

Sekeping hati akan tersedar jika disapa oleh sentuhan yang Maha Penyayang. Bukan sebarang panggilan dapat membawa manusia yang lara menyimpang, kembali ke mehrab ibadah. Bukan yang biasa-biasa berupaya, melainkan ianya terbias dek hubungan hati nan khusyuk terhadap Allah. Hubungan hati yang bersih bertautan dengan yang Maha Suci (al-Quddus), akan menjadi ibarat bulan yang membiaskan cahaya. Meskipun kadangkala ilmu tak seberapa, bekalkanlah diri dengan lidah yang lazim menyebut "Allahu Allah", biarlah dakwah disampaikan seiringan berkat Zikrullah. InsyaAllah..sentuhan hati kan nanti berputik lalu menyerlah indah.

Saya bawakan contoh sebuah gerakan yang menyebarkan dakwah melalui Zikrullah; Tarekat Qadiriah wa Naqsyabandiah atau ringkasannya TQN. Gerakan ini telah meluaskan dakwahnya ke serata Indonesia sehinggalah ke Malaysia, Singapura dan wilayah nusantara yang lain. Dikuatkan dengan pengiktirafan oleh Nahdhatul Ulama' (N.U), keberkesanan zikrullah sebagai penawar kemelaratan kalbu sudah terbukti. Bagi memudahkan pemahaman, saya sertakan Link tentang TQN ini di bawah:

TQN & Dakwah (klik sini)


Shohibul Wafa Tajul Arifin (Abah Anom), Mursyid Tarekat Qadiriah wa Naqsyabandiah.

Habib-habib yang meendapat madad daripada Rasulullah s.a.w juga semakin tersohor dengan kalimah dakwah mereka dalam mengingatkan manusia terhadap Nabi Muhammad s.a.w sambil berselawat & bermaulud dalam irama zikrullah. Intipati yang terpenting adalah nur zikrullah. Inilah kunci bagi membuka pintu hati manusia yang telah ditutup oleh himpitan nafsu dan hasutan syaitan. Habib Umar, Habib Zainal Abidin al-Jifri, Habib Munzir dan ramai lagi sewajarnya kita contohi roh dakwah mereka yang bersumberkan cinta & rindu. Ingatan yang tulus terhadap Allah & kasih yang suci terhadap Rasulullah s.a.w


Mungkinkah kita..
Melihat tanpa kerut di dahi, mendengar tanpa gelisah di hati? Khabar ngeri umat ini, harus dirasa dilemanya oleh kita semua.
Ketuk sedikit hatimu itu, apa yang sering didegupkan? Adakah Allahu..Allah..Allahu..Allah..?
Atau hanya setakat hal remeh-temeh yang pasti fana nanti?

"Hapuskan hatimu dari selain yang dicintai (Allah)" 
[Al-Syibli]

Masyarakat kita sekarang, mengharapkan pendakwah yang bertautan akrab hatinya dengan Tuhan. Mereka, sangat mahukan rasa Cinta & Rindu yang jujur kepada Allah. Di daerah hati, ada ceruk yang tak mampu diisi oleh gelak tawa & kepuasan, ketahuilah..bahawa itulah daerah Zikrullah. Semua manusia mempunyai hati yang dambakan tuhan. Kita yang ditaklifatkan, memimpin tangan masyarakat awam, meraba-raba cahaya di sebalik kegelapan.


Dalam masa kita memantapkan thaqafah, mengasah bakat berbicara & memahirkan skil komunikasi, tautan hati dengan Allah s.w.t juga wajib sentiasa berterusan melalui zikrullah. InsyaAllah, segala-galanya akan menjadi mudah dengan rahmatNya. 

Namun harus diingat, perjuangan tak menjanjikan kemudahan, cabaran demi cabaran adalah tarbiyah bagi mengangkat martabat kita selaku khalifah.