Tuesday, August 21, 2012

Maknawi Aidilfitri




Sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah : "Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid".

Salam Aidilfitri buat yg mengenali diri ini. Maaf zahir & batin saya titipkan ikhlas dari hati. Moga ukhwah kita dipelihara olehNya :-)

Syawal, begitu signifikan sekali dengan laungan takbir raya yang mendayu-dayu, keriangan berhari raya serta ziarah memesrakan ukhwah. Syukur, kedatangan Hari Raya Aidilfitri turut sama menggendong trofi kemenangan membendung nafsu semasa Ramadhan. Puasa & Raya. 2 entiti yang pasti tenggelam hakikat maknawinya andai dipisahkan dari pengertian.

Raya. Comel senyuman dan manis muka memeriahkan hati. Tetapi, sayang sekali..jika ia ditayang-tayang tanpa nasihat syariat.

Duhai Muslimah, saya tau awak hepi raya-raya ni..Cuma saya berharap sebarang pose maut yang mendebarkan, tak payahlah uploud kat facebook/twitter. Buat pemakai baju raya yang ketat-ketat, kurangkanlah dosa kamu dengan tak menyebarkannya di medium sosial ye. Kasihanilah kami orang lelaki, terpandang aurat kalian kan berdosa..

Biarlah post-post keinsafan semasa Ramadhan yang berlalu tidak dicemarkan pula dengan tindakan ‘terkejut budaya’ masa Syawal menjelma. . Dangerous sesangat. Gembira ceria di temasya Aidilfitri pasti lebih membahagiakan dengan menyantuni bicara Allah dalam Kalamullah. Tanda kasih-sayangNya dibuktikan ketika di bertegas nakkan kita menjaga batas-batas Syariat, agar kita tak tercampak ke Neraka murkaNya. Agar kita bersama insan mulia di Syurga RedhaNya yang berkekalan.

Masa puasa, post: “Aku nak berubah”, “Hidayah Allah tetibe jer terasa”.

Mudah-mudahan semangat tatkala disapa hidayah Allah ketika Ramadhan tidak dilupakan. Kekalkanlah ia kerana Tuhan kita bukan hanya memerhati di kala Ramadhan saja, bahkan Dia sentiasa ada & Maha Mengetahui tau.

Buat warga Huffaz Darul Quran, pemergian Syawal dan tibanya pakej Cuti+Raya semestinya adalah satu UJIAN buat kita. Tuhan pasti melihat, bagaimana kita menterjemah Tarbiah Ramadhan di atmosfera Aidilfitri. Ingatan buat diri sendiri dan semua sahabat, cuti bukan peluang untuk terlepas dari amanat menjaga thiqah. Memanifestasikan sifat taat di suasana luar bi’ah solehah pasti lebih mencabar. Hanya kepadaNya kita berharap moga dipelihara iman, dikuatkan tawajjuh hati mencintai Al-Quran sepenuh hati.
Hurm..inilah Syawal, ia boleh jadi tali penamat perjuangan kita, ataupun medan bukti keikhlasan pencinta ilahi.

Raya di FELDA

Seperti kebiasaan, tahun ni saya meraikan hari pertama aidilfitri di FELDA Semenchu. Kehangatan isu kronisme FELDA disantuni dengan senyuman dan selawat sambil bermarhaban rumah ke rumah. Dakwah biarlah tadarruj (berperingkat), jika tidak..kita pasti tersepit antara kebenaran dengan skil mengungkapnya dengan benar.

Saya dan juga abang saya telahpun dapat menghafal skrip kata-kata aluan sebagai tetamu serta tuan rumah yang diulang tanpa diubah saban tahun. Mungkin, ia simbolik pada persaudaran yang setia dan tak berubah..hoho

Tak puas lagi beraya di kampong..huhu. Tak puas bergelut dengan anak buah..tak puas cubit pipi adik sedara (belum baligh) yang comel..Tak puas dengan sekuntum silaturrahim yang semerbak mewangi.


Sesiapapun pasti rindukan ukhwah yang ikhlas. Moga Aidilfitri jadi pencetus sebuah masyarakat muslim yang berkasih sayang. Selangkah lagi ke arah Khilafah!

Sajak; Pudar Biru





Johor Darul Biru
Bangkitlah dan ubah
Di tanah bertuah
Penerus kesultanan Islam Melaka
Kita tegakkan harapan ummah

Daku rakyat muda
Saksi kepalsuan dan retorik buta
Saksi sogokan dangkalkan minda
Saksi bencana tandaNya murka
Saksi agama sekadar budaya
Saksi hedonisme hancurkan belia
Saksi kronisme meratah FELDA
Saksi nasionalisme dayus berkuasa

Selagi esok ada
Berbekal fikrah murni
Bumi ini kan HIJAU nanti
melenyaplah raksasa MERAH

Monday, August 13, 2012

Umat akhir zaman di akhir Ramadhan



"Suasana di bulan Ramadhan ni macam pertandingan sukan di Olimpik. Ada 3 pusingan. Fasa pemilihan, suku akhir & final. Masa awal-awal, ramai yang terlibat, bersaing mendapatkan ganjaran. Lalu, fasa seterusnya akan berkurang orang yg terlibat, tak ramai macam masa mula-mula. Fasa terakhir pula, pusingan final. Paling penting. Yang bertahan hanya yang terpilih. Begitulah juga Ramadhan."

Saya petik kata-kata ini dari ucapan seorang pemimpin UMNO. Walaupun berlainan fikrah politiknya dengan saya, sebagai umat Islam seharusnya menganggap al-Hikmah sebagai universal, milik semua. Yang benar diambil, yang bohong dibuang.

Majlis Ttadarus Quran di Masjid KLCC

Saringan iman. Ramadhan menguji kesetiaan kita. Hari Raya Aidilfitri yang semakin dekat, datang dengan sisi pandangan yang bergantung pada paradigma kita.

Sama ada kita melihat ia sebagai pesta hedonisme, atau suatu simfoni kesyukuran.

Sama ada kita bergembira berlalunya Ramadhan kerana terlepas dari seksaan lapar di siang hari & lenguh lutut ketika tarawih, atau melepaskan saki baki bulan barakah ini bersama linangan air mata, sayu meninggalkan extra pahala & luas kasihNya.

Ramadhan tetap akan pergi. Setiap tahun adalah berbeza. Takkan sama walau nampak serupa. Ramadhan tahun ini takkan berulang tahun hadapan. Masa mustahil diundurkan.

Here comes..Lailatul Qadr.

 مَن قام ليلةَ القدرِ إيمانًا واحتسابًا، غُفِرَ له ما تقدَّمَ من ذنبِه، ومَن صام رمضانَ إيمانًا واحتسابًا غُفِرَ له ما تقدَّمَ من ذنبِه .
الراوي: أبو هريرة المحدث: البخاري المصدر: صحيح البخاري - الصفحة أو الرقم: 1901


““Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Satu malam yang menandingi 1000 malam. Satu qiamullail padanya mengalahkan rukuk sujud umat terdahulu.

Namun, dalam kita ghairah meneka malam mana yang kena..mindset kita patut hampir dengan intipati taqarrub menuju Tuhan. Ianya bukan berkenan malam ini atau malam itu adalah lailatul Qadr, tetapi yang sebenarnya ia berkenaan..adakah malam kita seumpama sunnah Rasulullah s.a.w. Agar yang disembah ialah Allah..bukan ganjaran mahupun bulan. Ganjaran & bulan setakat motivasi dariNya.

Allahumma yassir lana..

Allah..kita umat akhir zaman yang kepantasan masanya di zaman ini telah dikhabarkan baginda Nabi s.a.w. Kita disibukkan perkara duniawi, dikepung hal-hal lagha. Sehinggakan keberkatan masa terluang untuk beribadah dicabut..moga masih ada maghfirahNya untuk kita..

Monday, August 6, 2012

Ramadhan berairmata darah


Perjalanan takdir menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan 2012. Tahun ini, pakej puasa 30 hari tiba dengan lebih sebab untuk kita bermujahadah. Adakah kita masih bermalas-malasan dalam mengejar sunnah solat berjemaah? Atau masih terasa berat menyampaikan kalimah al-Haq? Tanpa perang Badar di Ramadhan yang silam, inilah jihad kita. Jihad menguasai diri, menghalau sarakah nafsu. Wajar sekali wujud rasa malu jika masih tidak menampakkan walau sedikit perubahan. Kita patut berasa kerdil jika nak dibandingkan cabaran yang kita hadapi dengan dugaan hidup yang ditempuh oleh saudara seakidah kita di belahan dunia yang kian berdarah.

Etnik Rohingya, Tanah Palestin, Negara Syria, Konflik Patani dan bermacam-macam lagi mehnah yang menimpa tanpa pembelaan. Umat Islam diratah dengan gelojoh. Darah ditumpahkan tanpa kemanusiaan. Di mana Hak Asasi Manusia laungan polis dunia (kononnya). Amerika penuh angkuh menyaksikan dengan kepuasan. Dendam perang salib telah berjaya dilunaskan. Persidangan dan diplomasi tidak menampakkan hasil progresif seolah-olah keadilan hanya buat puak-puak eksklusif.

Kesilapan besar saat akhir pemerintahan Turki Uthmaniah dengan menerima Riba’ (pinjaman dengan faedah) atas asakan gerakan tanzim telah membuka peluang musuh islam mencantas ekonomi khilafah ini. Lantas, menjustifikasikan kejatuhan sebuah pelindung umat Muhammad s.a.w di tangan pengkhianat juga ejen freemason; Mustafa Kamal ataturk. Kini, kita dicerai-beraikan dan dipijak tanpa perisai yang mempertahankan kehormatan ummah. Air mata mengalir tanpa ada yang menyeka. Darah yang mengalir di Ramadhan ini membingkiskan kesedaran sebenar buat insan yang masih bertasyahud tauhid. Kesedaran yang membangkitkan perubahan. Perubahan internal agar dapat menggemparkan dunia. Bukan sekadar literal, tetapi terlahir melalui praktikal.

Bagaimana pula kita?
Hukama’ berpesan: “Orang yang tak dapat menguruskan perkara kecil, pasti tidak mampu menguruskan perkara yang besar-besar”.

Kebangkitan Islam suatu isu yang besar. Sangat bersifat reformis. Ia berkenaan perubahan yang mencabar sistem dunia sedangkan sistem dunia pula dikuasai oleh musuh islam.

Sahabat-sahabatku,
Mari kita mulakan dari dalam. Bermula dengan jihad meluruskan niat. Kemudian menghalakan gaya hidup melayari kehidupan bersyariat. Kita muhasabah kembali diri sendiri. Sejauh manakah komitmen kita dalam menyempurnakan Fardhu Muslim? Seluas manakah syiar dakwah telah kita perluaskan buat pedoman saudara-saudara kita yang masih jauh dari Allah? Setiap Muslim memiliki skop yang tersendiri dalam melicinkan arus kebangkitan. Kebangkitan Islam suatu yang dijanjikan. Mudah-mudahan kita tidak terputus dari ikatan rantai perjuangan.

Mereka di sana berjuang dengan lumuran darah. Bila semboyan memanggil, moga jiwa kita telah bersedia. Doa dan Qunut Nazilah buat semua yang tersiksa demi sebuah ikatan! Ikatan akidah Islam yang tiada sempadan!

Di dalam surah Al Hajj ayat 77 - 78 Allah Taala telah berfirman :
Maksudnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solah) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah ‘amal-’amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu kejalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (Untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama (ikutilah) agama bapa kamu Ibrahim dan Dia menamakan kamu orang-orang lsla semenjak dahulu dan dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang- orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia tentang yang benar dan yang salah. Oleh itu dirikanlah solah dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah.  Dialah pelindungmu, maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.”