Sunday, October 31, 2010

Halilintar al-Haq

Tugu kebenaran
walau seringkali roboh
hatta hingga pembinanya diperbodoh
diperbudak-budakkan
oleh kroni berkepentingan
tetap kan ia teguh
disimbahi darah perwira mulia
disirami air mata bertaraf permata
dan sang penzalim
telah ditetap di kalam al-Haq
kezaliman hakikatnya
sibuk membina
kerandanya sendiri
sebagai hantaran
lamaran neraka

Taufan Pelestin



Oh Palestin
Kau bumi Anbiya'
Bumi mujahadah berlumuran darah

Kau kan bebas!
bersama janji Allah
batu-batumu persis Salehuddin al-Ayubi
yang marak
diperkasa dek sumpah sang Syahid

Aku bersamamu
Wahai bumi Allah
aku mendoakanmu
berlarilah dikau
berderas laju
bak deruan taufan
bak beburung Ababil
Kau kan menang
Hidupmu mulia
Matimu syuhada
dan aku
kan bersamamu

Menjurangkan meskipun menghampirkan

 

 Dunia berubah seiring peredaran zaman. Letusan teknologi menimbulkan berbagai-bagai program menarik di televisyen, facebook semakin digilai serta tidak lupa kegiatan blogging yang turut saya minati.

 Kadangkala, saya termenung seketika. Mungkinkah kesemua pembaharuan ini benar-benar menyatukan kita. Maksud saya, demi maslahat yang berfaedah. Saya kerap kali tersedar, saya mungkin lebih kerap menatap wajah siber visual yang beremosi tetapi hampa dari roh, berbanding berbual dengan kerabat keluarga sendiri. Mungkinkah ini implikasi sampingan teknologi??

 Kes-kes di dada akhbar berkaitan laman sosial facebook ada yang menyatakan wujudnya kes penceraian asbab terlalu asyik melayani teman di alam maya sehingga alpa akan amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai suami/isteri.

 Sekadar pedoman buat diri sendiri. Erm, apa yang saya patut bualkan dengan ibu saya sebentar lagi ya?..

Sehalus aliran zikir

Suara air mengalir
gemersiknya membelai kalbu
terciptanya suatu anugerah
buat insan
yang mahu memahami
merenung melalui mata hati
ayat-ayat kebenaran
wujudnya Dia
walau tak terlihat
tapi terasa
ketika hati mendengar alam berbicara
bahasa zikrullah
meskipun ilmu manusia membatasi
tapi
hati yang tidak mati
terpancar pengertian
lafaz-lafaz syahdu
alam
memuji Tuhan



Sindrom Duniawi

Dunia sedang membusuk
digigit virus tercinta
manusia ayik berlumba-lumba
menempah tiket neraka
oleh itu diolahnya dunia
bak bayanagn syurga
namun kepalsuannya
tampak jelas teraib

Bagaikan di minda manusia
mustahil
adanya Tuhan
dosa pahala
syuga neraka
azab dan nikmat

Segala-galanya ingin dihabisi di sini
justeru dijustifikasi
kala penghisaban kelak
apa yang dibawa
sebelum mati?

Wasiat untuk mantan Penggali Agama



 Kasihan saya merasakan ketika menyedari ada antara teman-teman seperjuangan yang dahulunya berstatus soleh dan solehah telah berubah dahsyat apabila tamat sahaja 'akad perolehan sijil' dan menceburkan diri ke arena realiti kehidupan.

 Tanpa iman yang kukuh, ilmu yang luas dan 'amal yang mantap, maka manusia akan mudah hanyut ditarik arus globalisasi yang jarang mengenal ihsan.

Wahai sahabat,

 Bersabarlah, memanglah mungkin tiada lagi teman-teman yang kukuh kerohaniaannya berdiri di sampingmu. Tetapi, bukankah tuhan itu hampir, Allah sentiasa ada bersama kita.

 "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran"

(SURAH AL-BAQARAH, 2:186)

 Amanatilah amanat ustaz dan ustazah kita. Kerana mereka pernah dan telah merentasi tipu daya duniawi ini, lebih awal dan lama berbanding kita.

 Ambillah perlembagaan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai ketetapan yang dipakai tanpa bersyarat. Kalau dahulunya hati kita dijinakkan untuk mendekati Islam melalui pujian apabila ber'amal soleh, dimarahi apabila terlanjur mungkar, dihargai apabila bersabar, dikagumi apabila bersyukur dan dimuliakan apabila memeluk erat roh hidayah, maka kini ikhtiarkanlah dengan bermujahadah bagi mendapatkan hakikat ikhlas dan ihsan. Ingatlah bahawa Allah itu sentiasa hampir. Hampir sekali Dia denganmu.

 Cintailah sesuatu sekadarnya sahaja. Hanya cinta yang total adalah untuk Allah dan RasulNya. Cinta kepada insan hanyalah sekadar perhiasan di dunia yang sifatnya sementara ini. Kagumilah sirah Rasulullah s.a.w, para sahabat radh. dan Salafussoleh yang diredhai melebihi kekagumanmu terhadap artis-artis popular yang masih tidak tentu baik buruknya. Andai kita mencintai Allah, maka Allah pasti mencintai kita kembali. Semasa kita mengirimkan salam kepada Baginda s.a.w yang mulia, maka salam itu akan berjawab.

 Tak semua yang kita buat adalah betul. Melalui manhaj ahlul sunnah wal jamaah, silalah susuri piawaian keredhaanNya dan visi serta misi Rasulullah s.a.w yang berhati tulus. Islam itu sentiasa menimbulkan solusi yang terafdhal buat kita seandainya kita sebagai hamba yang dhaif benar-benar bergelar mukmin juga muttaqin.

 "'Sibghah Allah' siapa yang lebih baik 'sibghahnya' daripada Allah? Dan kepadaNya kami menyembah"

(SURAH AL-BAQARAH)

-mushaf al-Quran Darul Iman menafsirkan,
 'Sibghah Allah':artinya celupan Allah, maksudnya agama Allah

 Penampilan dan pemikiran manusia sememangnya berhakikat lemah. Yakinlah pada janji Allah dalam setiap keadaan. Akuilah kelemahan diri sendiri. Tiada ertinya meyakini kekuatan diri sendiri andai Allah menjanjikan bantuan kekuatanNya ketika kita bersusah-payah mentaati seluruh perintahNya dan menjarakkan diri dari kemurkaanNya. Dampingkan kalbu kita denganNya dengan Doa yang khusyuk, turutilah laluan asbab melalui iktiar yang mujahadah dan letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah dalam tawakkal yang tulus. Semoga Allah merahmatimu.

 "Dan sekiranya mereka benar-benar rida dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Allah dan RasulNya, dan berkata "Cukuplah Allah bagi kami, Allah dan RasulNya akan memberikan kepada kami sebahagian dari karuniaNya. Sesungguhnya kami orang-orang yang berharap kepada Allah"

(SURAH AT-TAUBAH, 196:59)

 Telah ditaqdirkan para mantan Penggali Agama perlu memikul mandat Islam di bahu-bahu mereka. Hasilnya nanti, adalah redhaNya.

Indahkah hidup

Hidup tak selalunya indah
tapi kan terasa indah
andai hidup dinaungi Allah

Indahnya usia
andai tepu dengan ketaatan
 alangkah kasihan
andai hidup bergelojak kefasiqan
dan nanti
di pengakhiran
apakah yang ingin dikenangkan
pada episod dosa
yang mengalirkan air mata
yang meruntunkan hati
ketika dikenang kembali
sekadar iktibar
yang mustahil
diubah lagi

Hargailah hayatmu
selagi tersisa

Dimensi Maghfirah

Ya Allah,
silam kala
tidak ku terbayang
pelukan rahmatMu
kan menyelimutiku
yang terlalu hina

Ya Rahman,
bukanku memepersoal keRahimanMu
tapi sungguh
ku tergamam
akan lautan maghfirahMu
yang tidak terbatas di logika
sanggup lagi kau mengampuniku
meskipun aku tenggelam dalam dosa
terkabur aku dirundung keaiban
dan aku
tergamam
semasa sakinahMu menenangkanku
menerbangkan aku
ke kayangan kurniaanMu
khas diklasifikasi
buat hamba beriman
sedang aku hamba berdosa
mungkin layakkah aku??

Heavenlover voices

I'm here
stuck in this pity place
waiting
forever maybe
abot may me
free from my descriminate emotion
do able I
conquer the reign of lust
as the conquerer had much died
killed by the silent shot
of my
very own self

O Allah,
please reply my prayer
I'm here O god
as You are much merciful
please mercy me
mercy me from been biten by hellfire monster
I'm scared O god

please hear my hope
save me and bring me
to the
happy hereafter
forever ever after

Sehari sebelum STAM

  Hening pagi diawali dengan renyai-renyai hujan bagaikan melukiskan kesayuan ke kanvas emosi setiap warga Maahad Johor

 Malam semalam, kami saling bersalaman dan memohon kemaafan. Maklumlah, sebagai manusia biasa, mustahil terlepas daripada tersinggung rasa. Hati merasa sayu amat sayu kerana saya tahu, apabila menjejakkan kaki di IPT nanti, suasana sebegini akan menjadi kerinduan dan kenangan yang tidak ternilai harganya. Suasana ukhwah amat terasa kehangatannya. Sehinggakan sebilangan besar sahabat-sahabat mengalirkan air mata kerana beratnya hati untuk menghadapi sebuah perpisahan suatu waktu nanti.

 Bilik 202. Ruang yang merakam episod perjuangan ini akan ditinggalkan juga nanti. Walaupun saya bukan seorang yang suka melepak di bilik (jenis suka merayap :p), sedikit nilai sentimental terasakan wujud di hati manusiawi ini.

 Esok, natijah bagi hari-hari selama 10 bulan di Maahad Johor. Suatu ujian yang berat. Ya Allah, bantulah aku.

Seseorang

Terima kasih Tuhan
atas taqdirMu
mempertemukanku dengan seseorang
yang meninggalkan jejak

walau mungkin
bukan tercipta dia untukku
tetap ku syukuri segalanya
atas tiap-tiap bait takwa
menyedarkanku

Ya Allah,
kurniailah kami
CintaMu
yang tulus suci

Amiiin...

Saturday, October 30, 2010

Aku mencintaiMu

Ya Allah
aku mencintaiMu
aku hambamu yang lemah
janganlah kau tinggalkanku sendirian
aku sepi tanpa mu
aku resah tanpa redhaMu
aku ketakutan andai hilang maghfirahMu
ampunilah aku ya Allah
hamba yang selalunya khilaf
tersilap dalam bertatih
di titian penipuan
kerap ku berhadapan
onak kemunafiqan
racun kefasiqan
serta kuku besi kekufuran
pimpinlah aku Ya Allah
jangan pernah lepasi aku
kerana aku
teramat amat
menyayangiMu

Khatimah khilaf

Kelemahan dan kekhilafanku
menyakitkan kalbu emanku
kemanusiawian ini
memustahilkan aku bernada sempurna

Ku mohon maaf
saat munculnya keaibanku
dalam aku merentas arena alpa
diri ini yang tiada sempurna
menghulurkan salam
ke tiap gurisan hati
yang ku sakiti

Barangkali dosa-dosaku
assbab kaffarahku
mungkin musibah itu
menghampirkanku kepadaNya
atau mungkin
ianya nikmat
tanda Tuhan
masih sayangi aku

Saturday, October 2, 2010

Warkah ke Hati Murabbi



 Wahai Murabbiku, ku syukuri nikmat ilmu titisan susah-payahmu walau dalam sukar juga senang. Terima kasih. Kalian begitu banyak mengajarku yang jahil ini bagi bergelar 'alim agar tidak kekok kala berdepan duniawi yang menipu supaya dapat ku sampai ke syurga ukhrawi. Terima kasih yang tidak terhingga wahai guruku.

 Tetapi, entahlah, mungkin aku yang masih tidak mengerti. Kadangkala ada masanya percakapan diri ini tidak gemar didengari olehmu, mungkin lantaran dosa-dosaku dahulu yang pernah melukakan hatikan. Aku mohon maaf wahai Murabbiku.

Wahai Murabbiku,

 Aku sekadar insan biasa. Akulah remaja yang bergelora jiwanya, yang masih tidak bijak berdepan dengan keengkaran nafsuku sendiri, yang masih tidak kuat dalam mentaati seluruh perintah tuhanku serta sunnah rasulku, yang masih mencari-cari erti dalam kehidupan ini, yang setiap hari berdepan pilihan sama ada ingin terus syukur ataupun kembali kufur, yang maksiat seringkali menggoda aku yang lemah ini, yang 'amal soleh masih terasa berat lantaran budaya kemungkaran yang melingkari remaja seperti aku.

Kerana,

 Akulah remaja yang cuba-cuba memegang bara Islam. Seringkali, panasnya terlalu menyakitkanku serta bahangnya membakar sanubariku yang diliputi noda. Lantas, kadangkala aku lepaskan bara Islam itu. Kerana, aku insan yang lemah. Memang aku punya fitrah, tapi tetap pasti punya nafsu.

Wahai Guruku,

 Peganglah tanganku, kuatkan pendirianku, teguhkan semangatku. Ku harapkan agar kau membantuku agar diletakkan kembali bara Islam itu ke telapak tanganku, kerana, aku tidak kuat mengambilnya sendiri. Sudah seringkali aku tewas. Nafsu menumpaskanku, syaitan memperdayaku serta dunia mahu aku terus tertipu lalu menarik aku ke dalam kelekaan.

 Wahai Murabbi yang ku kagumi,

 Pimpinlah aku dalam sabarmu. Kerana jiwaku bukan mudah ditenangkan dan nafsuku mudah ditaklukkan. Akulah remaja yang memerlukan insan sepertimu. Yang bijak dalam tuturnya, yang sabar berdepan mehnah, yang tidak mudah melatah berdepan fitnah serta yang juga butir bicaranya membawa aku hampir ke mehrab rukuk dan sujud.

 Alhamdulillah, segala puji kepada Allah,

 Terima kasih kerana sudi memahami. Terima kasih kerana sudi menatap luahan ini yang entah apalah sangat nilaiannya. Warkah ini bukanlah nukilan karyawan ternama. Tetapi, sekadar karya daripada seorang manusia biasa yang amat mengharap redha guru-gurunya. Allahua'lam.

Wassalam

Coretan syawal



Syawal kali ini, bagaikan suatu petanda bahawa saya sudah sepatutnya berkelakuan lebih matang. Layanan daripada kerabat keluarga yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, di samping pemberian duit raya yang semakin pupus menandakan takat usia yang baru bagi diri ini.

 Niat beraya pula perlu lebih bersih daripada mengharapkan "sampul ang pow", malahan lebih afdhal diniatkan semata-mata untuk merapatkan silaturrahim kerana Allah yang Maha Pengasih.

 'Dari Anas radh. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Mana-mana hamba yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana Allah maka akan datang malaikat dan menyeru daripada langit: "Bergembiralah kamu dengan kehidupan syurga untuk kamu, dan Malaikat di arash pula menyeru" Hambaku telah datang menziarahi saudaranya semata-mata keranaKu maka telah wajib bagiku untuk melayaninya sebagai tetamu, dan sebagai balasan keredhaanNya tidak kurang baginya ialah syurga.' (HR BAZZAR)

 Seperti biasa, surau al-Muttaqin iaitu surau berdekatan di taman perumahan saya sarat sekali dengan jemputan marhaban aidilfitri petanda limpahan rezeki dari khazanahNya. Alhamdulillah.

 Dalam keghairahan beraya sakan, sama ada mahu atau tidak, fokus utama bagi tahun ini adalah Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Jemputan dari seorang pak cik yang mengajak saya bagi bermarhaban di rumahnya pula terpaksa ditolak selain beberapa kemahuan lain yang terpaksa saya korbankan. Semoga pengorbanan yang masih kerdil dalam memetik bait-bait kebijaksanaan ini akan berbaloi nanti. Saya hanyalah makhluk yang sewajibnya berikhtiar bermati-matian sedangkan Allahlah yang menentukan pengakhiran.

 Ya Allah, ku mohon dikurniai kekuatan hafazan, kefahaman agama serta keikhlasan niat.
 Amiin, ya Rahman ya Rahim.


Friday, October 1, 2010

Banduan nan bahagia

Dunia bukanlah syurga
bahkan penjara
bagi mukmin bertakwa
yang gentar
kala bergegaran
firman azabNya

Bahkan begitu,
Yusuf a.s sanggup dipenjara
Musa a.s
tangkas berdepan firaun terlaknat
Malahan lagi
Zakaria a.s
Isa a.s
dan Habibun Najah
rela tersiksa
sekadar di dunia
yang sempit nan sementara

Sungguh benar
terpateri kalam
syurga bagi banduan dunia
yang rela
menyiksa nafsunya menahan yang haram
menekan hatinya
berterusan taat

Malahan lagi,
syurga kemudiannya
rindu pula
pada si dia
perindu syurga

Rindu Musafir

Untuk apa aku kufur?
sedang tuhanku mncukupkanku

Apa ada pada dunia?
pencintanya akan sengsara
serta perindunya
diapit nafsu
lalu mengelabui mata hati

Apa yang kau cari di dunia ini?
biarkan imanmu menjawabnya
Apa ada pada jelitawan?
andai bidadari sedia menanti
Apa ada pada harta duniawi?
sedangkan akhirat kekal abadi
Apa ada pada pangkat dan darjat?
bisakah dibawa
ke liang lahad?

Wahai sang Musafir,

Safarmu pasti berakhir
janganlah
kau hasratkan dunia tempat bermuqim
sudahkah kau bawa iman dan amal
bagimana nanti
andai ajal
memanggilmu pergi?

Diam-diam kemuliaan

Kadangkala
diamnya ulama'
bukan bererti
beliau redha

akan tetapi
kadangkala
diamnya ulama'
lantaran
takut-takut andai
berpalingnya umat berlari
meninggalkan agama
terkontang-kanting
lantaran
biasan iblis
yang terkesumat bisanya
di kalbu fasiq

seraya seharusnya,
Mukmin tulen
yang tulus tauhidnya
terserlah syariatnya
juga
faham benar
akan hakikat, makrifat dan tarikat
ideologinya
dipasakkan akalnya tegas
pada pasak islam
diluruskan hatinya
pada alunan iman
dimurniakan nafsunya
pada irama ihsan

Ya Allah,
maafkanlah ulama'-ulama' kami
kala tersasarnya ijtihad
dari maslahat umat

Ya Allah,
berkatilah
ijtihad-ijtihad yang haq,
lembutkanlah hati-hati kami
dalam
mentaati juga memahami
mengenai erti kehendakMu
serta RasulMu

Hikayat bahu lelaki

Lelaki adalah bahu
bagi layaknya pelindung
menangkis yang dilindungi
si kaum hawa
dari kekalutan
fitnah dunia

Biarlah bahu ini
menjadi tempat persinggahan tangisan
tempat airmata berjuraian
tempat kaum hawa
mengadu penat-letihnya
di penghidupan ini
selepas
Allah
Yang Maha Mendengar

Namun begitu,
bahu bervirus kusta
berwabak syahwat
akan menghakis si rusuk kiri
menghapus hakikat kehormatan diri
dan
selayaknya
bahu sebegini
dipatah-riyukkan
dan dihumbankan
ke Jahannam selamanya

Bahu lelaki
ditaqdirkan sebagai pelindung
sepertimana salafussoleh
sanggup berjuang
mempertahankan maruahnya
si kaum hawa

Bahu-bahu yang mulia,
umpama Yusuf a.s
sanggup dipenjara demi prinsipnya
bak Abu Bakar al-Misk
yang najis dirasakan
lebih harum berbanding zina,
juga persis
lelaki penjual kipas
sehinggakan malaikat
diutusNya
menyelamat jasadnya,
bahu yang tegap,
dimisalkan Ali r.a
tangkas sekali menangkis mehnah
menjadi bahu yang setia
nuat si dia
Fatimah az-Zahra'

Bahu-bahu yang hina,
harus disembuhkan
dari kusta yang menggila
agar si rusuk kiri
peroleh pelindung sejati
yang diamanahi
termaktub
dari rukun ilahi

Hari-hari terakhir kian berakhir

Melihat masa berlalu
meninggalkan
aku di sini
sepi

Detik demi detik
seakan-akan diinginkan
agar ia tidak berakhir

10 bulan yang indah,
Maahad johor muara ilmu perindu ilahi,
di sini
erti persahabatan dimanifestasi
sisi hidup melangit tinggi
juga di sini
ku kenal maknanya
berteman kerana Dia

Melihat senyum temanku,
ruang bilik yang terpahat memori,
surau al-Firdaus
lembahnya dakwah,
muzakarah
juga zikrullah,
menghitung
hari demi hari
yang
akan berakhir nanti

Ya Allah,
Maafkanlah aku,
amdai bermuqimnya
cinta dunia di hati ini,
Ya Allah,
temukanlah kami
sebagai saudara
di syurga abadi

Aura Imtihan

Pertempuran ilmu
mujahidnya menakluk nafsu
menumpaskan kukubesi kemalasan
membebaskan minda dari kejumudan
demi
menghadirkan abad
berkibarnya ilmuwan islam

walau jasad berdetik pedih
menahan jemari dari bersedih
namun niat tulus
rerus-menerus
menghulur busana sufi
ber'uzlah memurnikan hati
dengan
ilmu ilhaman ilahi

Halaqah ilmu
sedang asyik berpacaran
yang mengimpikan
pernikahan
dengan kejayaan.

Mukmin berilmu
diamnya fikir
kalamnya zikir

Imtihan adalah portal
serbang semesta imu
membuka lebih cahaya
bagai digapai
sang mujahid ilmu

Alangkah untungnya, andai kau jadi muslimah sejati


Metaforanya, ada seorang manusia, diberikan pilihan sama ada menaiki sebuah motor kapcai yang buruk ataupun menaiki sebuah superbike bagi menuju ke sebuah destinasi yang terlalu jauh. Tetapi aneh, dia dengan tanpa rasa rugi mengambil pilihan cukup menaiki motor buruk tersebut dan mengenepikan pilihan lain yang ternyata lebih baik.

 Begitulah fenomena hari ini. Jadi, bergembiralah bagi seorang muslimah yang telah memilih gaya hidup Islamisme berbanding isme-isme lain yang entah apa-apa.

(1)Hati sentiasa tenang. Apabila harapan kepada dunia telah ditawakkalkan dengan tali ilahi serta janji-janjiNya, maka kegelisahan dalam memilih laluan ke arah kebahagian kian jelas. Natijahnya, islam yang bersifat fitrah berupaya meneutralkan hati ke arah ketenangan hakiki.

(2) Terpelihara kehormatan. Seorang meslimah yang berbusana sopan akan mudah terhindar daripada jelingan nafsu yang rakus.

(3) Tidak perlu menipu diri sendiri. Benarkah kebahagiaan adalah dalam meraih cinta insan? Atau menjadi manusia yang paling popular? Atau menjadi perempuan yang paling seksi dan menggoda sehingga mengkin lebih layak bergelar betina? Jikalau begitu, mengapa ramai artis-artis barat seperti Britney Spears, Lindsay Lohan dan sebagainya dilihat kucar-kacir kehidupannya walaupun setiap yang diidamkan telah diperoleh? Hayatilah, sesungguhnya asas menuju kebenaran adalah kejujuran. Hakikat kebahagiaan adalah dengan menyerahkan keyakinan kepadaNya serta mentaatiNya setulus mungkin akan memutikkan bunga kebahagiaan.

(4)Memahami akhlak yang sebenar. Sungguh memalukan apabila setiap harikita dipopularkan dengan akhlak yang bukanlah berlatarkan fitrah mahupun fikrah islamiyyah sebenar. Terjerit-jerit, melunakkan suara pada yang tak sepatutnya serta setiap yang bercanggahan dengan syarak bukanlah akhlak yang patut dibanggakan. Cara hidup apa yang kita aplikasi?

(5) Tidak hipokrit dengan tuhan. Ramai orang berkata, "tak pe perangai buruk, asalkan hati baik". Alangkah malangnya apabila seseorang yang berpotensi menjadi mukminah contoh memilih pula gaya hidup yang kurang diredhaiNya. Apa yang diperjuangkan sebenarnya?

(6) The happy ending. Pengakiran bagi pengorbanan jiea seorang muslimah dalam mengekalkan prinsipnya di saat yang penuh fitnah ini adalah redhaNya serta syurgaNya! Inilah janji Allah.

(7) Permata yang dicari oleh lelaki soleh. Prinsip biologi hormofilli membuktikan bahawa seseorang manusia akan mudah tertarik kepada manusia lain yang memiliki keserasian dalam nilai, gaya hidup serta prinsip.

Wahai kaum hawa,

 Hanya dengan mengamalkan ideologi Islamisme yang tulen secara telus akan membuatkan hati kaum Adam benar-benar kagum kepadamu. Justeru, "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

wallahua'lam